Eksklusif: V. Saravanan Anggap Skuad Perak 2018 Miliki Aura Skuad Legenda 1998

Musim 1998 mungkin adalah antara saat paling indah buat pasukan Perak dan penyokong mereka apabila berjaya meraih gelaran Piala Malaysia.

Sebelum itu, kali terakhir trofi idaman Malaya itu menjejak bumi Perak ialah pada 1970.

Di antara tempoh itu, Perak perlu menunggu 28 tahun lamanya. Kemudian mereka berjaya mengulangi kejayaan yang sama pada musim 2000.

Tewas di pentas final pada2001 dan 2007, Perak berpeluang untuk menambah koleksi tujuh kejuaraan milik mereka bertukar menjadi lapan, sejak kali terakhir bergelar juara 18 tahun yang lalu.

Saravanan
Foto: IF Gnistan

Untuk itu, Semuanya BOLA telah menjejaki penyerang sensasi dan legenda Perak lewat 90-an dan era millineum, V. Saravanan.

Kini menetap di Helsinki, Finland, Saravanan merupakan pemain pertama yang berjaya mencetak nama selaku penjaring gol di SNBJ dalam pentas final Piala Malaysia edisi 1998.

Bakal sertai juara 29 kali Liga Premier Finland

Pemegang lesen kejurulatihan UEFA kelas B itu kini sebenarnya masih terlibat dengan bola sepak. Beliau kini merupakan seorang jurulatih bersama skuad remaja sebuah kelab di sana, IF Gnistan sejak 5 tahun yang lalu.

Walaupun hanya bermula sekadar untuk mengisi masa lapang, Saravanan akhirnya menjadi tulang belakang pasukan dan kemudian dilantik sebagai jurulatih kelab liga Divisyen 3 di Finland itu.

Saravanan (tengah). Foto: IF Gnistan

Terbaharu, Saravanan memaklumkan kepada kami bahawa beliau bakal menyertai staf kejurulatihan juara dua tahun berturut-turut Liga Premier Finnish (Veikkausliiga), HJK Helsinki mulai November ini.

Saingan liga di Finland baharu sahaja berakhir pada minggu lalu. Saravanan sudah menjangkau usia 40 tahun dan sedang dalam proses untuk memperolehi lesen kejurulatihan UEFA kelas A.

Foto: IF Gnistan

Mengapa Finland?

Kelab terakhir Saravanan di Malaysia ialah PKNS FC pada musim 2011 sebelum memilih untuk berhijrah ke Finland bersama-sama isterinya, Satu Johanna Ekholm.

Isteri Saravanan ialah warganegara Finland, dan telah berjaya memujuk beliau untuk berpindah serta membina kehidupan di sana. Bagi Saravanan, kehidupan di Finland sangat mendamaikan.

“Sukan utama di sini adalah hoki ais dan Sukan Musim Sejuk. Ia adalah negara yang maju dari segi pendidikan,” ujarnya kepada Semuanya BOLA apabila ditanya mengenai negara Finland.

Suasana yang berbeza antara Kuala Lumpur dan bandar di Finland telah berjaya memikatnya untuk tinggal di sana. Dia merasakan untuk memahami maksudnya, mereka perlu merasainya sendiri.

Meremang bulu roma kenang memori 1998

Tidak ramai yang tahu satu ketika dahulu, V. Saravanan pernah bekerja sebagai penjual kacang putih di Stadium Perak, semata-mata untuk menyaksikan aksi idola beliau, Azizul Abu Hanifah.

Maka apabila beliau berpeluang menjuarai Piala Malaysia bersama Perak, ia bagaikan mimpi jadi realiti.

Azizul ialah kapten Perak ketika pasukan itu muncul juara Piala FA pada 1990, selepas menewaskan Selangor 4-2.

Azizul Abu Hanifah

Bercerita mengenai memori menjulang kejuaraan Piala Malaysia edisi 1998, Saravanan menggambarkan yang itu adalah saat terindah sepanjang karier bola sepaknya.

“1998 adalah lebih manis dan lebih bermakna; kali pertama final Piala Malaysia dan menjuarainya, kali pertama pemain terbaik final dan pemain pertama menjaringkan gol di SNBJ,” jelasnya.

SNBJ sebelum itu digunakan untuk Sukan Komanwel yang berlangsung di Kuala Lumpur dan pentas final Piala Malaysia merupakan perlawanan bola sepak pertama dianjurkan di sana.

“Beraksi di hadapan 90,000 penyokong, ia satu suasana yang cukup meriah dan tidak boleh dilupakan. Setiap kali ingat masa 1998, setiap kali itu meremang bulu roma saya,” ujarnya lagi.

Kredit: Chedinsphere.blogspot.

Tahun 1998 merupakan musim sulung Saravanan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M). Berusia 20 tahun pada ketika itu, Saravanan telah mencipta fenomenanya yang tersendiri.

Perak menewaskan Terengganu 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1, hasil jaringan Saravanan dan Mohd Noor Derus (Terengganu).

Kembar Khalid Jamlus

Apabila bercerita tentang Saravanan, kita pasti akan teringat kepada gandingannya di Perak dan skuad kebangsaan, Khalid Jamlus.

Kedua-dua pemain dianggap pasangan yang sangat serasi dan tajam di jentera serangan.

“Saya dengan KJ (Khalid Jamlus) merupakan gandingan sempurna di dalam padang mahupun di luar padang. Kami juga pernah bergandingan bersama untuk negara.

Menurutnya Saravanan juga, Perak merupakan pasukan yang sangat harmoni dan sentiasa bersatu hati.

Gandingannya bersama Khalid Jamlus dianggap sangat menjadi kerana hasil bantuan dan sokongan rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Dan ketua pasukan kita Shahrul (Shahrul Azhar) memainkan peranan penting dengan bantuan pemain senior seperti Chan Kok Heng, Choi (Shamsul Saad), Abu Bakar (Fadzim), Raja Azlan, V. Murugan dan ramai lagi,” jelasnya kepada Semuanya BOLA.

“Final 2000 merupakan tahun serba lengkap buat pasukan Perak. Kami mempunyai lebih pengalaman dari Negeri Sembilan dan lebih bersedia serta berkeyakinan tinggi,” tambahnya lagi.

Final 2018: Aura pasukan sama dengan 1998

Kami sempat bertanyakan pandangan beliau mengenai skuad Perak pada musim ini. Mengakui jarang sekali dapat menyaksikan sendiri aksi The Bos Gaurus, beliau mengikuti perkembangan bekas pasukannya itu dengan menonton rangkuman perlawanan.

“Secara jujurnya, dari pandangan kasar, saya dapat lihat pasukan ini ada persamaan dengan pasukan Perak pada zaman saya dahulu,” ujar beliau merujuk kepada hubungan baik sesama pemain yang dipamerkan oleh pasukan itu pada musim ini.

Perak
Foto: Perak TBG

Perak melangkah ke final Piala Malaysia 2018 selepas menundukkan PKNS FC dan Sabah di peringkat suku akhir dan separuh akhir dan akan membuat perhitungan semula dengan Terengganu.

Ketika pertembungan dalam saingan peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan masing-masing merekodkan satu kemenangan dan ini memberi gambaran bahawa final kali ini dijangkakan sengit.

. (Sumber: Terengganu Football Club)

“2-1, Perak menang,” ramal Saravanan mengenai keputusan perlawanan akhir nanti sambil menasihatkan agar para pemain untuk kekal positif, kerja keras dan realisasikan impian.

Sedikit mengecewakan, beliau akan terlepas untuk menyaksikan siaran secara langsung perlawanan akhir ini kerana komitmen kerja kerana terlibat dalam satu perlawanan bola sepak di Finland.

Penutup

Saravanan tidak menolak kemungkinan yang mungkin satu hari nanti dia akan kembali ke Perak dan juga bumi Malaysia. Biar masa yang menentukan bila anak kelahiran Ipoh ini akan kembali.

Dua kejuaraan Piala Malaysia pada 1998 dan 2000 adalah sesuatu yang sangat bernilai kepadanya dan akan sentiasa diingati oleh para penyokong yang membesar melihat aksinya.

Terengganu sudah membalas dendam atas kekalahan 1998 pada edisi 2001 apabila menang 2-1 ke atas Perak dan pertembungan kali ini kembali menghidupkan perseteruan kedua-dua pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN