Secara tiba-tiba nama pemain muda Kelantan iaitu Mohamad Ikhwan Bin Yazek meningkat naik secara mendadak dalam kalangan para penyokong bola sepak tempatan sejak semalam.
Apa tidaknya, satu klip video yang memaparkan hantaran cantik daripada pemain muda tersebut untuk menghasilkan gol mendapat pujian tersendiri daripada bintang bola sepak dunia, Kevin de Bruyne.
Kevin de Bryune Puji ‘Assist’ Berkelas Dunia Pemain Muda Kelantanhttps://t.co/qpjuImhERF
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 5, 2023
Pemain tengah berpengaruh Manchester City itu hadir dalam satu segmen bawah kelolaan Astro untuk menilai video-video bantuan gol berkualiti dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Daripada empat klip video yang ditampilkan, de Bruyne menganggap ‘assist’ daripada pemain muda Kelantan itu sebagai paling terbaik menerusi kualiti dipamerkan bintang muda tersebut.
“Ini yang paling menarik, ianya turut dibantu dengan penyerang sangat baik sekali. Ini kerana bila anda meletakkan situasi satu lawan satu antara penyerang dan penjaga gol, anda melakukan tugas dengan sangat hebat kerana anda tak boleh meletakkan mereka dalam posisi itu dengan berlebihan.
“Saya memilih bantuan gol tersebut kerana cara beliau membuat hantaran antara pertahanan dan penjaga gol dan ia membuatkan segalanya menjadi mudah buat penyerang untuk meledak gol,” jelas De Bruyne.
Bantuan gol tersebut terhasil ketika perlawanan membabitkan Kelantan bertemu Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dengan ianya disudahkan oleh Fazrul amir pada penghujung separuh masa pertama.
Jelas Ikhwan, beliau sangat teruja selepas aksinya itu mendapat pujian tersendiri daripada Kevin setelah melihat video itu semalam.
Sambil itu, beliau dengan rendah diri turut menganggap tiga lagi bantuan gol yang dihasilkan oleh Fernando Forestieri, Habib Haroon, serta Wan Zack Haikal juga layak diberi pujian kerana mempunyai kelas tersendiri.
“Alhamdulillah, saya agak gembira dan teruja, apabila menonton video daripada Kevin itu, walau bagaimanapun ‘assist’ dari Foriesteteri, Wan Zack, dan Habib juga harus diberi pujian kerana mereka juga pemain yang lebih bagus dari saya,” jelas Ikhwan kepada kami secara eksklusif.
Pada masa sama, Ikhwan juga mengakui pujian tersebut menaikkan lagi motivasi beliau untuk tampil lebih baik pada perlawanan akan datang dalam saingan Liga Super.
“Ya sudah pasti, saya ambil pujian itu bagi menyuntik semangat untuk beraksi dan memberi lebih banyak ‘assist’ untuk siri perlawanan akan datang.
“Saya juga akan kerja dengan lebih keras selepas ini untuk memperbaiki cara pemainan saya di atas padang,” tambah Ikhwan.
Manchester City’s very own assist king Kevin de Bruyne takes a look at some of the best assists from the Malaysia Super League this season! 😍 pic.twitter.com/10EBmLFdJN
— Stadium Astro 🇲🇾 (@stadiumastro) May 5, 2023
Selain itu, Ikhwan turut menyatakan beliau pada awalnya tidak begitu pasti jika hantaran tersebut mampu diledak Fazrul Amir kerana menyedari ada pertahanan berdekatan pemain tersebut.
Namun, pemain berusia 22 tahun itu mengakui sering mencipta hantaran-hantaran sedemikian untuk mencipta lebih banyak kombinasi serangan berkualiti buat Kelantan.
“Assist tersebut saya tidak pasti boleh menghasilkan gol, disebabkan ada pemain pertahanan didepan Fazrul Amir. Ya ketika sesi latihan saya selalu melakukan hantaran sebegitu,” tambah Ikhwan.
Ketika ini, Ikhwan menyatakan beliau perlu berehat dalam tempoh masa yang agak panjang kerana mengalami kecederaan agak teruk untuk tidak membenarkan pemain itu beraksi di atas padang.
Walaupun begitu, pemain sayap tersebut turut menyatakan proses pemulihan kini berjalan dengan sangat lancar dan Ikhwan berkemungkinan akan kembali bersama pasukan dengan lebih pantas.
Akhir sekali, Ikhwan turut mengakui impian beliau ketika ini adalah untuk cuba merebut peluang bersama skuad kebangsaan selain mengakui mahu membanggakan ibu bapanya.
Melihat kepada perkongsian Ikhwan Yazek di laman sosialnya, #Trw2023 mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain sayap lincah ini sekurang-kurangnya sehingga pintu jendela perpindahan dibuka semula. Namun, masih menantikan pengumuman rasmi daripada official page Trw 🙂 pic.twitter.com/2QOnVIn1Oy
— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) March 20, 2023
“Impian saya sekarang cuba rebut peluang untuk ke skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang . Dan impian saya juga nak bangga kan family saya,” kata Ikhwan kepada kami akhir sekali.