Pemain tengah Timnas Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn telah menandatangani kontrak bersama dengan pasukan Selangor.
Hal tersebut disahkan oleh ejen rasmi kepada 2 pemain ini iaitu Muly Munial. Bercakap kepada wartawan CNN di Indonesia, Muly Munial berkata:
“Kedua pemain ini menandatangani kontrak dengan Selangor. Semalam mereka sudah tandatangan kontrak itu tetapi saya lupa pula jam berapa.”
“Saya sebelum ini tidak boleh berikan apa-apa perkembangan kerana Selangor dan Bhayangkara FC masih menyelesaikan beberapa rundingan dan dokumen. Dan sekarang ini barulah perkara ini sudah jelas dan diselesaikan.”
Ditanya sama ada benar gaji Evan Dimas 26 kali ganda daripada apa yang beliau dapat di Indonesia dan menerima RM83,000 sebulan, Muly enggan berkongsi akan perkara itu.
Namun beliau mengakui ada tawaran dari kelab Thailand, Chonburi dan nilai ditawarkan Chonburi lebih rendah.
“Rasanya hanya lebih sedikit sahaja daripada yang beliau dapat sebelum ini. Dan di Indonesia pun dia boleh mendapat gaji seperti yang dia dapat di Selangor kerana banyak kelab mahukan Evan.”
“Namun mereka mahu ke Selangor untuk memastikan karier berkembang dan mudah-mudahan dari sini mereka akan mampu ke Thailand dan Jepun.”
Muly yakin Selangor adalah pilihan yang tepat kerana rekod pasukan Selangor yang melayan pemain asing terutama dari Indonesia dengan sangat baik.
Muly juga senang hati dengan rumah yang turut disediakan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor untuk 2 pemain Indonesia ini.
Berita ini pastinya menggembirakan penyokong Selangor. Namun masih belum ada pengumuman rasmi di laman media rasmi pasukan Selangor.
Dengan ini juga, rasanya masa depan Andik Vermansyah mungkin sudah berakhir. Sebelum ini FAS menyatakan mereka masih lagi melakukan pertimbangan ke atas khidmat Andik Vermansyah. Namun siapa tahu Selangor akan menggunakan 3 pemain import dari skuad Garuda.