Perlawanan pertama Santiago Solari sebagai pengurus tetap berakhir dengan kekalahan mengejut di tangan Eibar.
Solari diberikan kontrak tetap selepas cemerlang membantu Real Madrid menang kesemua 4 perlawanan – selepas kekalahan di el Clasico. Ianya rekod terbaik pernah dicatatkan oleh interim dalam sejarah kelab Real Madrid.
Walaubagaimanapun, berlangsung di Stadium Municipal de Ipurua, pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan sangat baik. Mereka tak gentar dengan Real Madrid.
Eibar melancarkan percubaan bahaya pada awal perlawanan termasuk 1 percubaan terkena palang oleh Kike pada minit ke-3.
Karim Benzema memiliki peluang keemasan di hadapan gol, namun berjaya dikeluarkan pertahanan di atas garisan.
Tidak lama selepas itu, berpunca daripada hantaran lemah oleh Ceballos, pasukan tuan rumah melancarkan serangan balas dengan 5 vs 3. Gonzalo Escalante menyempurnakan gol hasil daripada susulan selepas Courtois melakukan ‘save’ penting.
VAR digunakan untuk menentukan sama ada gol itu dibina daripada kedudukan ofsaid. Ternyata gol itu sah.
Separuh masa pertama, Real Madrid ketinggalan 1 gol di belakang. Bersambung babak ke-2, Eibar memastikan Real Madrid tiada ruang bangkit apabila menambah 2 lagi gol.
Pada minit ke-52, Kroos cuba melakukan hantaran ke sebelah padang namun dipintas oleh Cucurella yang peluang itu disudahkan oleh Sergi Enrich.
5 minit kemudian, giliran Kike pula menambah 1 lagi gol. Cucurella sekali lagi menjadi pencetus kepada gol. Hantaran beliau telah dicucuk oleh Enrich kepada Kike yang menyempurnakannya.
Kekalahan ini membuatkan Real Madrid gagal untuk berada dalam 4 teratas.
Sebagai rekod ini adalah ‘clean sheet’ pertama Eibar ke atas Los Blancos – dan pertama kalinya mereka menjaringkan lebih daripada 1 gol ke atas Real Madrid.