Egypt Dan Algeria Antara 5 Negara Yang Berpotensi Menjuarai AFCON

AFCON merupakan kejohanan terbesar di benua Afrika yang akan dianjurkan pada Januari 2022 nanti dengan edisi kali ke-33 ini bakal dilangsungkan di Cameroon.

Sebanyak 24 pasukan dari benua Afrika yang akan bertanding pada edisi kali ini dengan kesemua mereka bertekad untuk muncul sebagai Juara.

Bintang seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Edouard Mendy dan Riyad Mahrez merupakan antara nama besar yang akan beraksi dalam pertandingan ini.

Pertandingan ini dilaporkan bakal berjalan selama satu bulan dan hanya sebuah pasukan sahaja yang akan pulang sebagai Juara.

Tidak ada kumpulan maut untuk kejohanan pada edisi kali ini, dengan pasukan seperti Egypt, Senegal dan juara bertahan, Algeria dijangka akan mudah untuk melepasi aksi peringkat kumpulan.

Dari 24 pasukan yang bertanding, berikut merupakan lima pasukan yang dianggap calon kegemaran untuk menjuarai AFCON 2021.

5. Cameroon – 5 Kali Juara AFCON

Cameroon merupakan pasukan tuan rumah untuk AFCON 2021 dan mereka juga merupakan antara pasukan bola sepak paling berjaya sepanjang zaman dari benua Afrika.

Mereka pernah lima kali muncul sebagai Juara dalam pertandingan ini dan untuk edisi kali ini, Cameroon sekali lagi dianggap sebagai calon kegemaran untuk muncul sebagai Juara.

Kali terakhir Cameroon muncul sebagai Juara dalam pertandingan ini adalah pada tahun 2017 yang lalu, selepas mereka cemerlang menewaskan Egypt 2-1 dalam aksi perlawanan akhir.

Walau bagaimanapun, Cameroon gagal untuk melepasi aksi pusingan 16 terbaik ketika edisi sebelum ini pada tahun 2019 yang lalu.

Pemain penyerang Bayern Munich, Eric Maxim Choupo-Moting dan pemain sayap Olympique Lyon, Toko-Ekambi bakal menjadi pemain terpenting Cameroon pada edisi kali ini selepas Joel Matip gagal untuk turut serta.

Cameroon telah diundi untuk berada dalam kumpulan yang sama dengan Burkina Faso, Ethiopia dan Cape Verde dalam aksi peringkat kumpulan A.

Oleh yang demikian, sepertinya tiada masalah untuk Cameroon mara ke pusingan kalah mati, kerana lawan mereka di peringkat kumpulan jelas mudah untuk mereka hadapi.

Mereka pada ketika ini berada di kedudukan ke-50 dalam ranking FIFA dan Cameroon juga turut merekodkan kejayaan yang cemerlang ketika aksi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Mereka hanya tewas satu sahaja dari enam perlawanan terakhir dan kerana itulah Cameroon dianggap sebagai calon kegemaran untuk muncul sebagai Juara.

4. Egypt – 7 Kali Juara AFCON

Jelas sekali sangat mustahil untuk ketepikan Juara tujuh kali dalam pertandingan ini, Egypt dari senarai calon kegemaran untuk memenangi edisi kali ini.

Semua mata jelas sekali akan tertumpu ke arah Mo Salah, dengan bintang Liverpool itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang musim ini.

Seandainya beliau mampu pamerkan aksi ketika bersama Liverpool di pentas AFCON ini, tidak mustahil Salah akan berjaya membantu skuadnya untuk muncul juara buat pertama kali sejak 2010 yang lalu.

Senarai pemain yang akan sertai kejohanan ini masih belum diputuskan, namun bintang Premier League seperti Salah, Trezeguet dan Mohamed Elneny sudah tentu akan disenaraikan.

Mereka berdepan kesukaran pada edisi sebelum ini dengan Egypt sekadar tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan Afrika Selatan.

Pada edisi sebelum itu iaitu pada tahun 2017, Egypt berjaya mara hingga ke aksi perlawanan akhir, namun terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Cameroon.

3. Morocco – 1 Kali Juara AFCON

Morocco turun ke kejohanan AFCON 2021 dengan rentak persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Mereka turut merekodkan 100% kemenangan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan hanya mencatatkan satu kekalahan sahaja sepanjang tahun 2021 ini.

Morocco juga berjaya mencatatkan 12 clean sheet sepanjang tahun ini dan jelas sekali ia kerana mereka pada ketika ini dianggap pasukan yang memiliki skuad terbaik dari kesemua skuad yang bertanding.

Youssef En-Nesyri, Romain Saiss, Achraf Hakimi dan Yassine Bounou merupakan antara barisan pemain utama Morocco.

Kali terakhir Morocco memenangi pertandingan ini adalah pada tahun 1976 dan sejak dua edisi terakhir ini, mereka berjaya melayakkan diri hingga ke aksi kalah mati.

Mereka ditewaskan di pusingan 16 terbaik pada edisi 2019 dan jelas sekali Morocco pada edisi kali ini mereka mahu pergi lebih jauh lagi.

Morocco diundi untuk berada dalam kumpulan C bersama Ghana, Comoros dan Gabon dan sepertinya tiada masalah untuk mereka melayakan diri ke pusingan 16 terbaik.

2. Senegal – Tidak Pernah Menang AFCON

Senegal pada ketika ini merupakan pasukan dari benua Afrika yang berada di ranking terbaik dalam senarai ranking FIFA, dan jelas sekali mereka sangat berharap untuk muncul sebagai juara AFCON pada tahun ini.

Mereka telah dikecewakan oleh Algeria ketika aksi perlawanan akhir saingan AFCON edisi 2019 dan Senegal turut pada tahun ini dalam misi untuk menang.

Senegal juga cemerlang mencatatkan rekod tidak terkalahkan sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia, dengan mereka hanya mencatatkan satu sahaja keputusan seri.

Mereka merupakan pasukan paling kuat untuk kejohanan pada tahun ini, dengan 27 pemain yang ada dalam skuad Senegal merupakan antara bintang-bintang besar dalam dunia bola sepak.

Edouard Mendy, Sadio Mane, Chiekhou Kouyate, Kalidou Koulibaly dan Idrissa Gueye merupakan antara bintang-bintang besar yang akan turun mewakili Senegal di kejohanan AFCON pada tahun ini.

1. Algeria – 2 Kali Juara AFCON

Juara bertahan AFCON, Algeria merupakan calon kegemaran untuk muncul sebagai juara pada edisi 2021 ini selepas mereka mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan pada tahun ini.

Ketika aksi kelayakan AFCON, Algeria merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dengan mereka berjaya meledak 19 gol dari enam perlawanan.

Mereka juga merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol ketika aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, dengan menjaringkan 25 gol dari enam perlawanan.

Algeria juga masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam kesemua perlawanan kelayakan.

Mereka juga turut berjaya menjuarai saingan FIFA Arab Cup minggu lalu selepas cemerlang menundukkan Tunisia 2-0 dalam aksi perlawanan akhir.

Riyad Mahrez bakal menjadi ketua pasukan untuk skuad Algeria bertemu Equatorial Guinea, Ivory Coast dan Sierra Leone dalam aksi peringkat kumpulan E.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN