Frank Lampard membuka akaun karier pengurusan dengan kemenangan sulung daripada perlawanan kompetitif yang pertama dikendalikannya.
Bekas pemain tengah England yang juga merupakan legenda Chelsea itu kini merupakan pengurus buat pasukan Derby County dalam saingan EFL Championship.
Ketinggalan
Derby menentang Reading di Madejski Stadium pada awal pagi tadi. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
7 minit setelah perlawanan bersambung, Jon Dadi Bodvarsson menjaringkan gol pertama untuk tuan rumah.
Namun kelebihan Reading tidak bertahan lama setelah Mason Mount menjaringkan gol penyamaan untuk Derby.
Tandukan Tom Lawrence pada masa kecederaan memastikan Derby memenangi perlawanan pertama dalam saingan EFL Championship musim ini.
Berharga
Frank Lampard dalam temubual bersama media kelab menggambarkan perasaan yang luar biasa kerana gol kemenangan itu. Beliau mahu meraikan kemenangan itu bersama pasukan kejurulatihan dan para pemain.
Semasa ditemubual BBC, pengurus Reading, Paul Clement menyifatkan kekalahan pasukannya pagi tadi kerana kesilapan semasa separuh masa kedua.
Pemain-pemain Reading diarahkan untuk mengubah corak permainan yang berbeza dengan separuh masa pertama.
Semasa separuh masa pertama, mereka bermain baik dan tiada gol dijaringkan oleh Derby pada ketika itu.
Frank Lampard ternyata akan menjadi daya penarik untuk ramai lagi peminat bola sepak untuk mengikuti perkembangan EFL Championship.
Malah, kira-kira 2000 penyokong Derby sanggup ke Reading untuk memberikan sokongan pasukan kesayangan mereka.
Kedua-dua kelab ini antara kelab yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.
Malah, lebih daripada separuh kelab EFL Championship musim ini
pernah beraksi di liga terkemuka dunia itu.
Musim baru EFL Championship akan membuka tirai mulai minggu ini. Begitu juga dengan EFL League One dan League Two.