Editorial SB: NFDP Bukanlah Projek Sia-Sia, Tahniah Skuad B-22 Negara!

Piala Asia B-23

Nota editor: Siri Editorial SB kembali lagi dengan kami akan memberikan pendirian mengenai isu-isu semasa bola sepak tempatan setiap minggu. Ikuti siri ini setiap Isnin dan lontarkan pendapat anda di ruangan komen.


Sekalung tahniah kami ucapkan kepada skuad B-22 negara yang berjaya layak ke Piala Asia B-23 yang bakal diadakan tahun hadapan.

Kredit kami berikan kepada Brad Maloney serta staf kejurulatihan yang lain yang berjaya membentuk skuad ini dengan baik.

Selain itu, kredit juga kami berikan kepada beberapa pasukan di Liga Malaysia yang sudah mula sedar pentingnya memberikan peluang kepada pemain muda dengan memberikan mereka minit permainan.

Kita boleh lihat pemain-pemain seperti Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng serta Hakimi Abdullah antara pemain yang menerima kebaikan apabila sering diturunkan dalam saingan liga oleh pasukan mereka.

Dengan minit permainan yang diperoleh saban minggu, membolehkan mereka menajamkan skil serta merealisasikan potensi mereka sekali gus mematangkan kualiti sebagai pemain.

Luhat saja pada Azhad Harraz, setiap minggu diturunkan dalam perlawanan Liga Premier mampu untuk menajamkan permainan beliau sehingga kini sudah mewakili negara.

Kita perlukan lebih banyak pasukan yang boleh memberikan minit permainan seperti yang Azhad dapatkan demi kebaikan pemain itu dan skuad negara.

Oleh itu, adalah penting untuk pasukan-pasukan Liga-M terus memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain muda yang berbakat besar untuk diletakkan dalam skuad utama mereka setiap minggu.

Pada peringkat awal, mungkin pemain-pemain tersebut akan jelas kekurangan permainan mereka. Tetapi lama-lama ianya pasti akan membuahkan hasil.

Dalam pada itu, Maloney dan staf kejurulatihannya perlu memerhatikan dengan lebih mendalam penyerang dan perancang yang berpotensi untuk diserap ke skuad kebangsaan di masa akan datang.

Hal ini kerana, kami mendapati tumpulnya penyudah dan kreativiti skuad muda negara menghadkan jumlah jaringan yang diperoleh setiap perlawanan.

Mujur barisan pertahanan beraksi dengan baik dan berjaya merekodkan nirbolos (clean sheet) dalam setiap perlawanan – sesuatu yang sukar diperoleh skuad negara.

NFDP bukanlah sia-sia

Sebelum ini terdapat pendapat yang mengatakan yang projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) adalah satu pelaburan yang merugikan.

Tetapi hakikatnya ianya tidaklah merugikan kerana jika anda perhatikan kesebelasan utama yang diturunkan oleh Maloney, lima daripadanya adalah graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Luqman Hakim, Zikri Khalil, Azrin Afiq, Umar Hakeem dan Harith Haiqal antara graduan AMD yang kini menjadi tunjang negara dan bermain baik di peringkat kelab.

Situasi ini menjadi gambaran yang NFDP bukanlah segagal yang disangka cuma mungkin ianya terlalu cepat dihukum oleh orang sekeliling selepas gagal ke Piala Dunia Remaja sebelum ini.

Graduan AMD kini ratanya-ratanya mempunyai tempat di kelab masing-masing dan situasi ini cukup baik buat skuad negara untuk jangka masa panjang.

Kami berasakan ini adalah lebih baik berbanding memanggil pemain yang tidak diketahui kemampuannya tetapi diterima kerana beraksi di Eropah.

Perjalanan masih jauh

Persediaan untuk Piala Asia B-23 kini sudah pun bermula dan kami berasakan adalah penting untuk para pemain terus meningkatkan prestasi bersama kelab masing-masing.

Hal ini kerana, ianya pasti akan membesarkan peluang mereka untuk terpilih mewakili negara apabila kejohanan tiba kelak.

Bagi pemain yang tercicir, teruskan usaha anda untuk mencuri perhatian Maloney dan cuba merampas tempat yang kini diduduki oleh rakan-rakan seusia anda.

Kejayaan layak ke Piala Asia B-23 ini adalah satu pencapaian membanggakan. Semoga ianya menjadi permulaan kepada era yang lebih baik buat bola sepak negara.

Selamanya, Harima Malaya.

Leave a Reply