Penjaring terbanyak sepanjang zaman Paris Saint-Germain (PSG), Edison Cavani memuji tindak balas positif yang ditampilkan rakan sepasukannya untuk bangkit dari kekecewaan di Madrid selepas menewaskan RC Strasbourg 5-2 dalam aksi Ligue 1.
Pemain antarabangsa Uruguay tersebut juga berjaya menghasilkan dua jaringan pada perlawanan yang berlangsung di Parc des Princes itu.
Sebelum ini PSG yang menjadi pilihan untuk menewaskan Real Madrid pada perlawanan pertama saingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah mengalami kekalahan keatas tuan rumah dengan keputusan 3-1.
Adrien Rabiot bagaimanapun membuka tirai jaringan buat PSG pada perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu itu, Cristiano Ronaldo kemudiannya berjaya mencipta dua jaringan dan Marcelo melengkapkan kemenangan buat tuan rumah.
Cerita sebaliknya berlaku di Paris semalam apabila Strasbourg terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan awal dari Jean Aholou.
Namun, PSG lebih garang selepas itu untuk memperolehi tiga jaringan yang dihasilkan pada babak pertama oleh Julian Draxler, Neymar dan Angel Di Maria.
Stephane Bahoken merapatkan kedudukan pada minit ke-67 sebelum Edison Cavani menoktahkan api perjuangan pelawat dengan dua jaringan pada minit ke-73 dan 79.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Cavani berkata: ”Kami perlu untuk memenangi perlawanan ini untuk mengubah pemikiran kami, apa yang terjadi tetap terjadi, jadi kami perlu memandang ke hadapan dan memikirkan mengenai sasaran lain dalam kejuaraan liga,” ujar penyerang tersebut kepada Canal+.
”Ia merupakan reaksi yang sangat baik. Bertemu Real Madrid, masih mempunyai 90 minit perlawanan lagi dan kami turut mempunyai kejohanan yang lain.”
”Kami sedikit tertekan selepas perlawanan bertemu Real Madrid tetapi itu adalah normal. Anda perlu meninggalkannya dibelakang, anda perlu terus bekerja dan bersama-sama dan bekerja sebagai satu pasukan.”
”Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan adalah untuk tetap bersama dan kemudiannya kami mampu untuk memenangi perkara yang penting. Pada waktu yang sukar, kita perlu kekalkan perpaduan dalam pasukan.”
Kemenangan ke-22 dalam 26 perlawanan itu menyaksikan PSG berkelebihan 12 mata meninggalkan Monaco di tempat kedua.