Edisi Piala Dunia 2018 di Russia bakal kunjung tiba tidak lama lagi. Bahang kehangatan kejohanan piala paling berprestij 4 tahun sekali itu semakin dekat menghampiri peminat bolasepak di seluruh dunia.
Sebelum bermulanya pembukaan rasmi pada 14 Jun 2018 nanti, SemuanyaBola akan kongsikan kepada pembaca 5 fakta yang perlu anda tahu menjelang kejohanan edisi Piala Dunia 2018 di Russia yang bakal berlangsung 49 hari lagi.
1. Maskot rasmi Piala Dunia 2018
Setiap edisi Piala Dunia, maskot memainkan peranan penting sebagai duta bagi mempromosikan acara selain menghiburkan setiap penonton yang hadir ke stadium.
FIFA telah memperkenalkan “Zabivaka” sebagai maskot rasmi untuk kejohanan Piala Dunia 2018 di Russia.
Zabivaka dalam bahasa Russia bermaksud “Penjaring Gol”. Serigala telah digunakan sebagai watak kepada Zabivaka.
Berdasarkan laman rasmi FIFA, lebih dari 1 juta orang telah melakukan undian secara dalam talian dengan memilih serigala sebagai maskot kejohanan dengan mengenepikan dua haiwan lagi iaitu harimau dan kucing.
Maskot Zabivaka telah diperkenalkan secara umum pada perlawanan Piala Konfederasi tahun lepas yang diadakan di Russia.
2. Poster Rasmi Piala Dunia 2018
Poster Piala Dunia 2018 ini diperkenalkan kepada umum tiga hari sebelum majlis cabutan undian pasukan peringkat kumpulan pusingan akhir Piala dunia 2018.
Poster edisi ke-21 ini memaparkan gambar lagenda penjaga gol Russia iaitu, Lev Yashin.
Menurut Fatma Samoura sebagai wakil dari FIFA, beliau sebagai berkata, poster ini mengambarkan sebuah warisan tradisi dari bola sepak negara kesatuan Soviet itu sendiri.
Lev Yashin dipilih sebagai ikon poster diatas jasanya yang membantu Russia menyertai banyak kejohanan besar termasuk tiga kali edisi Piala Dunia pada tahun 1958, 1962 dan 1966.
3. Bola Rasmi Piala Dunia 2018
Seperti kebiasaan, setiap edisi pastinya akan diperkenalkan bola rasmi bagi kejohanan.
Bagi edisi kali ini, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengumumkan secara rasmi bola edisi kejohanan tersebut yang diberi nama “Telstar 18”.
Telstar 18 kembali dihidupkan semula selepas dicipta pada kali pertama untuk kegunaan edisi Piala Dunia 1970 di Mexico.
FIFA menyifatkan Telstar 18 yang dibuat oleh Adidas sebagai ‘satu model ciptaan klasik dengan rekaan panel baharu menggunakan teknologi terkini’.
Adidas yang juga pembekal bola kejohanan Piala Dunia sejak 1970 mengenakan rekaan corak asal pada bola Telstar yang menyaksikan 32 panel pentagonal, dengan 12 daripadanya berwarna hitam dan putih supaya ia mudah dilihat untuk siaran televisyen hitam putih pada era 70an.
Bola Telstar 18 ini bakal membangkitkan semula memori yang tidak boleh dilupakan pada Piala Dunia 1970 dengan penampilan ramai bintang legenda seperti Pele, Gerd Mueller, Giacinto Facchetti, Pedro Rocha dan Bobby Moore.
4. Stadium Piala Dunia 2018
Russia telah diberi kepercayaan dan kehormatan oleh FIFA buat kali pertama untuk menjadi penganjur kejohanan terbesar sukan bola sepak dunia itu.
Sebelum ini, kejohanan antarabangsa terbesar yang berjaya dihoskan oleh Russia adalah Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi pada tahun 2014.
Kejayaan Russia mengadakan Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi dengan sempurna telah berjaya memberi keyakinan kepada FIFA.
Sehingga kini, Russia dalam operasi melengkapkan pembinaan stadium yang dijangka hampir 90% siap sepenuhnya.
Terdapat 12 stadium dalam 11 wilayah yang akan menjadi medan tempur buat 32 pasukan yang bakal bersaing dalam edisi kali ini..
Antara 12 stadium tersebut ialah Luzhniki Stadium, Otkritie Arena, Krestovsky Stadium, Fisht Olympic Stadium, Cosmos Arena, Kazan Arena, Rostov Arena, Volgograd Arena, Nizhny Novgorod Stadium, Mordovia Arena, Central Stadium dan Kaliningrad Stadium.
Luzhniki Stadium di Moscow yang berkapasiti 80,000 akan menjadi gelanggang rasmi pembuka tirai kejohanan Piala Dunia 2018 di antara perlawanan tuan rumah, Russia menentang Arab Saudi.
5. Logo rasmi Piala Dunia 2018
Selepas berjaya melaksanakan kempen Piala Dunia 2014 di Brazil dengan jayanya, FIFA ingin menganjurkan Piala Dunia 2018 dengan lebih meriah dari edisi sebelumnya.
Sehubungan dengan itu, FIFA telah memperkenalkan secara rasmi logo rasmi bagi kejohanan ke-21 ini.
Apa yang kelainan dari logo ini ialah, sebelum dilancarkan di Bolshoi Theater, Moscow, logo ini terlebih dahulu dilancarkan di angkasa lepas melibatkan tiga angkasawan Russia di Stesen Luar Angkasa International.
Pelancaran logo ini dilakukan menerusi acara Urgant Night Show yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Hak kebenaran mencipta logo diberikan kepada syarikat pencipta logo iaitu Brandia Central.
FIFA menyatakan pemilihan corak logo dibuat Brandia Central yang berinspirasikan budaya setempat, kesukanan dan sistem pemerintahan Russia.
Warna emas, biru, merah dan hitam logo tersebut melambangkan teknik zaman kuno yang dilihat di dunia seni bagi mengambarkan warna asas terawal digunakan di Russia.
Turut kelihatan lambang bulat berwarna biru seperti “bola ajaib” yang melambangkan kecintaan bola sepak untuk diagungkan.
Komponen dalam logo ini disatukan dari reka bentuk trofi piala dunia dan warna bendera Russia yang menjadikan ianya “Magic and Dream”.
Dalam logo tersebut juga kelihatan seperti manusia sedang merangkak naik ke atas dan mengangkat piala.
Ianya mengambarkan keceriaan, kebahagiaan pemain serta penyokong untuk mengapai sebuah bintang dan harapan.
Kredit featured image: Premium Times