Penyerang antarabangsa Uruguay, Edinson Cavani berjaya meletakkan nama beliau selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Paris Saint-Germain (PSG) selepas mencipta satu jaringan pada perlawanan bertemu Montpellier semalam.
Gol pada minit ke-11 tersebut merupakan koleksi jaringan ke-157 buat Cavani dalam semua pertandingan sepanjang pembabitan beliau bersama PSG bagi memadamkan rekod lama yang dipegang Zlatan Ibrahimovic dengan 156 gol.
Cavani yang dengan mudah menolak masuk hantaran lintang dilakukan Adrien Rabiot, meraikan jaringan bersejarah tersebut dengan membaling jersi beliau kearah penyokong PSG.
Malangnya, penyokong yang berjaya mendapatkan jersi milik Edinson Cavani itu enggan untuk memberikan semula jersi tersebut.
Edinson Cavani's record goal for PSG wasn't one of his all-time best, but his celebration was an absolute epic! 🎉🎉🎉 pic.twitter.com/AerMk1HjQ0
— GOAL (@goal) January 27, 2018
Keadaan itu memaksa kitman pasukan memberikan jersi baharu kepada Cavani untuk meneruskan aksi yang baru sahaja berlangsung selama 11 minit dan beliau kemudiannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Frank Schneider akibat perlakuannya membuka jersi.
Penyerang berbisa yang berusia 30 tahun itu menyertai PSG daripada Napoli pada bulan Julai 2013 dengan perpindahan yang bernilai hampir €64 juta.
Dengan baki saingan musim 2017/18 yang masih panjang, rekod yang dicipta Cavani ini pasti akan semakin dapat dijarakkan tatkala beliau masih lagi menjadi pilihan utama Unai Emery untuk mengetuai jentera serangan pasukan.
Mengikut rekod 10 penjaring terbanyak buat PSG, hanya Cavani, Ibrahimovic dan Guillaume Hoarau (56 gol) yang masih aktif beraksi ketika ini.
Ibrahimovic kini sedang bersama Manchester United manakala Hoarau, 33 tahun, beraksi untuk BSC Young Boys.