Selepas menunjukkan minat terhadap Andy Carroll, Chelsea kini sedang merancang untuk membida seorang lagi pemain penyerang iaitu Edin Dzeko dalam usaha memperkuatkan jentera serangan pasukan yang kelihatan semakin lesu ketika ini.
Menurut Sky Sports Itali, Chelsea bersedia untuk membawa masuk penyerang AS Roma itu bersama-sama rakan sepasukannya dari Brazil yang beraksi di posisi pertahanan kiri, Emerson Palmieri.
Kelab Itali itu meminta hampir £77 juta bagi kedua-dua pemain tersebut dengan Dzeko bernilai £57 juta dan Emerson pula dengan £20 juta.
Satu nilai yang lebih tinggi dimahukan AS Roma berbanding hanya £44 juta ditawarkan Chelsea termasuk menjadikan peminjaman terhadap Michy Basthuayi sebagai salah satu daripada pertukaran tersebut.
Sekiranya perpindahan Edin Dzeko ini menjadi kenyataan, ianya akan memberikan kekuatan tambahan buat juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu tatkala Alvaro Morata kini semakin tumpul di hadapan gol apabila ketandusan jaringan sejak enam perlawanan lalu. Michy Batshuayi pula dilihat semakin hampir untuk dipinjamkan ke kelab lain.
Edin Dzeko, pemain kelahiran Sarajevo itu bukanlah nama asing dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila pernah beraksi untuk Manchester City dari tahun 2011 hingga 2015 sebelum dipinjamkan ke Roma dan kemudiannya berpindah secara tetap ke kelab tersebut.
Beliau juga telah menghasilkan dua gol ketika bertemu Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Sebelum ini Antonio Conte memilih untuk membawa masuk Andy Carroll ke Stamford Bridge, namun usaha tersebut gagal apabila penyerang dari England itu kini sedang mengalami kecederaan.