Penjaga gol utama Manchester City, Ederson Moraes mahu rakan sepasukannya melupakan aksi ketika bertemu Crystal Palace yang menyaksikan mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan di Selhurst Park hujung minggu lalu.
Dengan keputusan seri tersebut mengakibatkan rentetan 18 kemenangan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris terhenti.
Perlawanan tersebut juga hanya merupakan perlawanan kedua buat City melepaskan mata setelah terikat 1-1 ketika bertemu Everton pada awal musim.
Keadaan mungkin menjadi lebih parah apabila Crystal Palace dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan setelah Raheem Sterling menjatuhkan Winfried Zaha. Mujur Ederson bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti yang diambil Luka Milivojevic.
”Pandang kehadapan, mari terus bekerja dan memikirkan mengenai perlawanan akan datang (menentang Watford). Kami menikmati musim yang menakjubkan dan kami tidak boleh merungut.”
”Kami akan cuba untuk bertindak balas dengan keputusan lalu dan memenangi perlawanan akan datang. Kami perlu menumpukan perhatian dan fokus bagi sepanjang musim.”
Ederson juga sempat mengulas mengenai detik sepakan penalti yang berjaya dihalang oleh beliau.
”Saya hanya memikirkan untuk bertahan dan menyelamatkan bola tersebut dari gol,” kata Ederson mengenai penalti tersebut. ”Ia merupakan saat yang sukar pada penghujung permianan, 0-0. Saya tahu betapa penting keadaan itu.”
”Jelas sekali saya gembira untuk menyelamatkan sepakan penalti itu dan mencipta serangan balas pantas. Sayangnya kami gagal menghasilkan jaringan.”
Dalam pada itu, Ederson turut memuji tentangan hebat yang diberikan Crystal Palace namun beliau merasakan Manchester City masih merupakan pasukan yang lebih baik.
”Dalam keadaan ini, ianya cukup baik untuk memperolehi satu mata tetapi secara keseluruhan perlawanan bukanlah satu perkara yang baik. Saya rasa kami layak untuk memenangi perlawanan ini.”
”Sungguh jelas kami menghadapi sebuah pasukan yang cukup baik, mereka bertahan dengan sangat baik tetapi keseluruhannya saya rasakan kami layak untuk menang,” ujar Ederson lagi.
Manchester City akan bertemu Watford di Stadium Etihad pada jam 4.00 pagi esok dalam usaha untuk kembali mencipta kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.