Kehadiran Danny Drinkwater dan Tiemoue Bakayoko ke dalam skuad Chelsea pada jendela musim panas yang lalu disifatkan oleh pengendali kelab tersebut, Antonio Conte sebagai satu keadaan yang memberikan pilihan taktikal yang baik terutamanya pada perlawanan besar.
Penjualan Nemanja Matic ke Manchester United menyebabkan Conte perlu mencari pemain tengah yang mampu untuk memainkan peranan yang baik dalam menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh beliau.
Kehadiran Drinkwater dari Leicester City dan Bakayoko (Monaco) telah memberikan nilai tambah kepada jentera tengah yang seterusnya membantu pemain tengah kental, N’Golo Kante dan Cesc Fabregas.
Berkenaan dengan itu, Antonio Conte menjelaskan bagaimana kehadiran dua pemain tengah baharu itu dapat memberikan lebih banyak pilihan buatnya dan juga mereka membuatkan Eden Hazard beraksi dengan lebih hebat.
”Berbanding pada musim lalu, kami telah menukar pemain. Kami telah membeli dua pemain tengah iaitu Bakayoko dan Drinkwater,” kata pengendali berusia 48 tahun dari Itali itu kepada Chelseafc.com
”Karakter pemain kami, untuk bermain dengan tiga pemain tengah adalah merupakan pilihan yang bagus. Bagi saya untuk dapat menggantikan dua sistem yang berbeza, 3-4-3 dan 3-5-2, adalah hebat.”
”Apabila kami menentang pasukan yang besar, sangat penting untuk lebih kukuh dengan tiga pemain tengah dan dua penyerang, dan seterusnya dapat memberikan lebih ruang untuk Eden Hazard bergerak bebas di padang.”
Danny Drinkwater turut berjaya menghasilkan satu jaringan menarik dari jarak jauh pada perlawanan bertemu Stoke City tempohari yang menyaksikan Chelsea mencatatkan kemenangan besar 5-0 di Stamford Bridge.
Chelsea kini berada ditangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas mencatatkan 45 mata. Namun kekurangan satu perlawanan berbanding Manchester United yang berada ditempat kedua yang memperolehi 47 mata.