Menuju empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), penjaga gol Manchester City, Ederson nampaknya memiliki satu lagi hajat yang belum tertunai iaitu menjaringkan gol.
Itu mungkin salah satu rekod yang ingin dicatatkannya dengan Man City juga dalam laluan untuk merekodkan kemenangan terbanyak, gol terbanyak serta mata tertinggi untuk musim ini.
Ketika ini, di bawah bimbingan Pep Guardiola, selain telah sah bergelar juara liga, Man City telah merekodkan 29 kemenangan, menjaringkan 98 gol dan meraih 90 mata.
Semua rekod tersebut sehingga kini dipegang oleh Chelsea dengan rekod 30 kemenangan (musim 2016/17), 103 jaringan (2009/10) dan 95 mata (2004/05).
Selain itu, dalam perlawanan menentang Swansea baru-baru ini, Man City juga telah merekodkan pasukan pertama di EPL yang membuat lebih dari 1000 hantaran iaitu 1015 hantaran.
Para penyokong tampak mahukan Ederson untuk mengambil penalti pada minit ke-64 ketika menentang Swansea, namun Gabriel Jesus telah tampil dan gagal menyempurnakannya.
“Saya terdengar para penyokong bersorak nama saya untuk mengambil sepakan penalti tersebut, tetapi Gabriel telah berada di sana,” ujar Ederson kepada ESPN.
Dan menurut penjaga gawang berusia 24 tahun itu, dia sentiasa bersedia jika pengurusnya, Pep Guardiola memberikan kebenaran dan sangat yakin dia mampu menyudahkannya.
“City sudah memiliki senarai pengambil sepakan penalti dan kami memiliki pilihan yang baik, tetapi jika Pep meminta saya untuk mengambilnya, saya bersedia,” tambahnya lagi.
“Harapnya ia akan terjadi (sebelum musim ini berakhir). Saya ingin menjaringkan gol,” tekadnya yang baharu memiliki satu kaps antarabangsa bersama Brazil.
Kali terakhir penjaga gol menjaringkan gol di EPL adalah empat tahun lalu dilakukan oleh Asmir Begovic yang juga merupakan penjaga gol kelima yang telah menjaringkan gol.
Selain Begovic, Peter Schmeichel, Brad Friedel, Paul Robinson dan Tim Howard adalah antara penjaga gol yang pernah merekodkan jaringan dalam saingan EPL.
“Jika menamatkan musim ini sebagai juara, disamping itu memecahkan beberapa rekod, kami akan membuat sejarah buat kelab dan juga sebagai pemain,” ujar Ederson.
“Saya berharap kami akan berjaya memecahkan semua rekod itu. Kami mampu lakukannya. Saya fikir jika kami mengekalkan tahap ketika ini sepanjang musim, kami akan berjaya,” jelasnya lagi.
Man City juga boleh merekodkan margin kemenangan terbesar yang setakat ini direkodkan pada 18 mata. Kini mereka berada pada tahap 16 mata.
Selain itu, Man City turut telah merekodkan 18 kemenangan berturut-turut dari bulan Ogos hingga Disember, bermula dengan Bournemouth dan berakhir dengan Newcastle United.