5 Sebab Mohamed Salah Lebih Baik Daripada Messi & Ronaldo Untuk Ballon d’Or

Prestasi penyerang Liverpool, Mohamed Salah adalah satu fenomena pada musim ini. Maka tidak hairanlah dunia bola sepak dilanda ‘Mo Salah’.

Selepas pretasi yang menakjubkan pada musim ini, ada yang mulai memperkatakaan Salah selayaknya turut memenangi gelaran Ballon d’Or- anugerah terprestij kategori individu di dalam dunia bola sepak untuk tahun 2018.

Kami senaraikan 5 sebab mengapa Salah mampu memecah dominasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk anugerah elit itu sejak sedekad yang lalu.

1. Anugerah Pemain Terbaik Tahunan (POTY)

Sama ada anda adalah seorang penyokong Liverpool atau lawan, anda tidak boleh menafikan prestasi semasa penyerang antarabangsa Mesir ini pada musim 2017/18 selayaknya dinobatkan dengan Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA (POTY).

Dan ini bukan anugerah pertama oleh Salah pada musim ini. Selain daripada POTY, Salah turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2017 pada Januari lalu.

(Photo by Barrington Coombs/PA Images via Getty Images)

Selain daripada itu, kecemerlangan Salah turut menyaksikan beliau diiktiraf dengan anugerah El Heddaf Arab Footballer of the Year 2017, dan turut menerima pengiktirafan yang sama daripada Goal.

Sah sebagai pemain terhebat Afrika, Arab dan England; mengapa tidak sebagai pemain terbaik dunia?

2. Jumlah jaringan di EPL

Lima liga utama di Eropah merangkumi La Liga, Bundesliga, Serie A, Ligue 1, dan juga EPL.

Di kalangan lima liga utama ini, EPL disifatkan sebagai antara yang paling kompetitif, dengan corak permainan bola sepak yang lebih fizikal.

Malah Cristiano Ronaldo sendiri pernah mengadu tidak mendapat perlindungan sewajarnya daripada pengadil ketika dibentes lawan ketika masih bersama Manchester United.

(Photo by Alex Dodd -CameraSport via Getty Images)

Namun apa yang dihasilkan oleh Salah pada musim ini sedikit kontra dengan keluhan yang disuarakan oleh Ronaldo. Tidak ada keluhan. Malah Salah aksi Salah dilakukan dengan cukup bersahaja, dan menghiburkan sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan.

31 gol yang dijaringkan di EPL setakat ini telah menyamai rekod EPL sebelum ini, yang hanya pernah digapai oleh 3 pemain iaitu Ronaldo, Thiery Henry dan Luis Suarez.

Berbaki 3 perlawanan untuk diharungi, rekod itu seakan-akan hanya menunggu masa untuk dipecahkan untuk Salah tampil sebagai penyerang paling prolifik bola sepak Inggeris pernah saksikan.

3. UEFA Champions League 

Siapa yang menjangka Liverpool mampu mara sehingga ke separuh akhir UEFA Champions League (UCL) setelah beberapa musim menyepi atau gagal memberikan impak, di dalam pertandingan ini pada musim ini?

Untuk itu, kredit harus diberikan kepada Salah. Di UCL, Salah telah memperagakan ancaman di semua stadium merentasi eropah melalui 11 penampilan setakat ini.

Sepanjang tempoh itu, Salah telah menjaringkan 11 gol dan menghasilkan 4 bantuan gol. Untuk itu, hanya Ronaldo yang melakukan lebih baik daripada Salah dengan 15 gol dan 3 bantuan gol setakat ini.

Liverpool

Bezanya, Salah turut membuatkan pemain dan gandingan beliau di Liverpool turut kelihatan lebih baik apabila Roberto Firmino turut telah menghasilkan 11 gol, manakala Sadio Mane kini telah menjaringkan 8 gol dalam pertandingan yang sama.

Data ini hanya menambah kepada fakta betapa pentingnya kehadiran Salah di dalam perancangan Jurgen Klopp di dalam skuad Liverpool.

4. Lebih hebat daripada Messi dan Ronaldo?

Untuk memenangi Ballon d’Or, anda tidak boleh mengelak daripada dibandingkan dengan dua nama besar di dalam bola sepak, Messi dan Ronaldo.

Adakah Salah lebih baik daripada dua nama tersebut yang telah mendominasi bola sepak dunia selama sedekad?

Selain daripada 31 gol yang telah dijaringkan di EPL setakat ini, Salah turut telah menghasilkan 9 bantuan gol untuk rakan sepasukan beliau di Liverpool.

(Photo by Philipp Schmidli/Getty Images)

Manakala Lionel Messi hanya menjaringkan 29 gol setakat ini, beserta 12 bantuan gol di La Liga.

Seteru kepada Messi di Real Madrid, Ronaldo pula telah menghasilkan 24 gol dan 5 bantuan gol untuk Los Blancos.

Ambil perbandingan pencapaian Messi di UCL yang menjaringkan 6 gol dan 2 bantuan gol sebelum kemaraan di sekat oleh Roma di suku akhir.

Jelas Salah mempunyai ratio jaringan dan bantuan gol yang lebih baik.

5. Salah pamer konsistensi

Jika anda masih meragui ratio jaringan yang dimiliki oleh Salah, mungkin kita boleh beralih kepada konsistensi prestasi pemain sepanjang bersama Liverpool pada musim ini.

Malah ketika Salah tidak berada di prestasi terbaik setelah kepenatan mengharungi musim yang panjang, pemain ini masih mampu melakukan apa yang seharusnya seorang penyerang lakukan, iatu menjaringkan gol.

Tidak termasuk Piala Carabao, Salah telah menjaringkan 42 gol keseluruhan pada musim ini di dalam tiga pertandingan utama iaitu di saingan EPL, Piala FA, dan UCL. Ini tidak termasuk 5 gol jaringan pemain ini di peringkat antarabangsa bersama Mesir sepanjang tempoh 2017/18.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Jika dibandingkan dengan Messi dan Ronaldo, Salah melalui musim yang lebih konsisten.

Messi bermula dengan baik sejak permulaan kempen musim ini. Malah prestasi Messi di awal musim pantas mengaitkan bintang Argentina itu dengan gelaran Ballon d’Or ke-6 peribadi  bakal miliknya.

Namun selepas Barcelona disingkirkan oleh Roma di UCL, ianya mungkin perkara berbeza buat Messi.

Ronaldo pula seperti yang kita ketahui memulakan kempen dengan amat perlahan pada musim ini, dengan hanya 4 gol dijaringkan menuju separuh musim pada Disember lalu.

Namun selepas itu, Ronaldo seperti menemui kembali sentuhannya yang hilang dengan 25 gol daripada 15 perlawanan terakhir.

Mampukah Messi dan Ronaldo bersaing dengan Salah yang telah dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan EPL sebanyak 4 kali dan yang telah menjadi bualan dan fenomena baru dunia bola sepak?

Rumusan

Musim ini belum lagi tamat. Tidak boleh dinafikan, Salah mampu mencabar kedudukan Messi dan Ronaldo untuk anugerah Ballon d’Or yang akan datang.

Selain daripada saingan liga dan eropah yang belum tamat, aksi dan impak ketiga-tiga pemain di Piala Dunia 2018 di Rusia juga akan diambil kira.

Layakkah Mohamed Salah untuk Ballon d’Or?

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN