Pemain lincah kelahiran Belgium, Eden Hazard mengakui beliau agak bergelut untuk memberikan impak yang terbaik pada musim pertamanya menyarung jersi kelab gergasi Sepanyol dan dunia, Real Madrid.
Selepas cemerlang membantu Chelsea menjuarai Liga Europa dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris 2018/19 di tangga ketiga sekaligus layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Hazard mengambil langkah drastik meninggalkan The Blues setelah berbakti di Stamford Bridge selama tujuh musim.
Perpindahannya ke Real Madrid yang dirungkaikan pada 7 Jun 2019 itu dilaporkan menelan belanja berjumlah €100 juta.
Namun, segalanya tidak seperti yang diharapkan apabila Hazard gagal untuk memperagakan belang sebenar beliau seperti ketika bersama Chelsea. Antara penyebab utama prestasi hambar pemain jentera serangan berusia 29 tahun itu adalah masalah kecederaan berterusan yang dialaminya.
”Musim pertama saya di Madrid adalah buruk, tetapi tidak semuanya buruk.”
”Ia adalah satu musim untuk menyesuaikan diri. Saya akan dinilai pada musim kedua. Terpulang kepada saya untuk berada dalam keadaan baik baik musim hadapan,” ujar Hazard menerusi laporan Goal.
”Kumpulan (pemain Real Madrid) ini bagus, saya telah berjumpa dengan teman baharu. Bagi saya ini adalah pengalaman yang hebat.”
”Saya masih mempunyai kontrak berbaki empat tahun lagi, saya berharap dapat berada dalam keadaan yang baik.”
Hazard hanya mampu menjaringkan satu gol dan mencipta lima bantuan jaringan hasil 15 penampilan dalam semua pertandingan pada musim ini. Dengan statistik tersebut, ternyata Hazard perlu lebih bekerja keras untuk kembali mendapatkan sentuhan lama beliau.
Kredit foto: Facebook Eden Hazard