Quantcast

BERITA

RASMI: Eden Hazard Sertai Real Madrid Dengan Kontrak 5 Tahun

Real Madrid akhirnya mencapai kesepakatan untuk perpindahan Eden Hazard.

Real Madrid dilaporkan setuju membayar yuran perpindahan sekitar £88 juta dan tambahan beberapa lagi bonus.

Dalam final UEL yang lalu, Hazard telah memberikan salam perpisahan kepada penyokong Chelsea. Dan pada musim lalu beliau beberapa kali memberikan gambaran mahu ke Real Madrid.

Real Madrid cuba mendapatkan Hazard selepas Piala Dunia 2018, namun gagal. Chelsea enggan menjual Hazard pada sebarang harga dan yakin Hazard akan melanjutkan kontrak beliau.

Namun bintang Belgium 28 tahun itu memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak dengan The Blues. Real Madrid datang lagi untuk mendapatkan Eden Hazard.

Selepas beberapa siri rundingan di antara Chelsea dan Real Madrid, akhirnya Hazard sah akan ke Bernabeu.

Hazard akan menjalani ujian medikal pada 13 Jun ini selepas tamat tugasan antarabangsa. Hazard kemudian akan diperkenalkan kepada umum.

Real Madrid dalam kenyataan rasmi mereka berkata: “Real Madrid dan Chelsea telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Eden Hazard. Pemain [Hazard] akan bersama kelab ini untuk 5 musim sehingga 30 Jun 2024.”

“Eden Hazard akan diperkenalkan sebagai pemain baharu pada 13 Jun di Stadium Santiago Bernabéu selepas lulus ujian medikal.”

Sepanjang bersama Chelsea, Hazard menjaringkan 110 gol daripada 352 perlawanan – untuk 7 tahun.

Pengarah Urusan pasukan Chelsea, Marina Granovskaia mengucapkan selamat tinggal kepada Hazard dan berkata: “Segala memori anda bersama kami tidak akan pudar.”

“Beliau membuatkan semua orang menonton Chelsea sangat terhibur dan banyak sekali menjadi wira kemenangan. Dan untuk itu kami ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Eden.”

“Beliau telah menjadi contoh profesional sejati ketika di kelab ini, seorang individu yang hebat dan seronok bekerjasama dengan beliau.”

Thibaut Courtois antara yang terawal mengucapkan selamat datang kepada Hazard dengan kapsyen di twitter beliau: “Selamat datang ke kelab terbaik di dunia Eden Hazard, Real Madrid.”