Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester United, Ed Woodward memberikan jaminan bahawa kepimpinan tertinggi kelab tersebut masih memberikan kepercayaan terhadap pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer bagi terus membimbing The Red Devils.
Berada di kedudukan ke-14 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 dengan hanya mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri selepas mengharungi tujuh perlawanan, para penyokong kelab tersebut dilihat mahu Solskjaer meninggalkan jawatan yang diisinya sejak 19 Disember 2018 itu.
Sehubungan dengan itu, nama bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino pula disebut-sebut sebagai pilihan utama bagi mengantikan pengurus kelahiran Norway tersebut.
Bagaimanapun, Woodward yang sebelum ini turut dikecam penyokong atas beberapa faktor tampil dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan komitmen terhadap Solskjaer untuk terus membimbing Manchester United.
”Di atas padang, sementara masih ada kerja keras untuk mencapai konsistensi yang lebih besar, kami tetap memberikan komitmen penuh terhadap perjalanan positif yang kami lalui di bawah kendalian Ole [Gunnar Solskjaer] ketika pasukan ini terus berkembang.”
”Kami rindu untuk bermain di hadapan penyokong kami,” ujar Woodward menurut laporan Goal.
”Kami akan terus bekerja keras bersama badan kerajaan dan pihak berwajib untuk memastikan bahawa para penyokong dapat kembali ke stadium dengan selamat secepat yang mungkin.”
Kenyataan terkini yang dikeluarkan Woodward itu memberikan gambaran jelas bahawa jodoh pengendali berusia 47 tahun itu bersama Manchester United kelihatan masih panjang.
Sebaik sahaja tamat tugasan antarabangsa, Solskjaer dan anak buahnya berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dalam kempen liga apabila mereka dijadualkan bertemu pasukan di zon penyingkiran, West Bromwich Albion (WBA) pada 21 November di Old Trafford.
Kredit featured image: John Peters/Manchester United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Ed Woodward:
Ed Woodward Diberi Perlindungan Tambahan, Persediaan Hadapi Kemarahan Penyokong United