Penyerang Juventus dari Argentina, Gonzalo Higuain pastinya tertekan dengan keadaan dimana beliau kini hanya mampu menjaringkan dua gol dalam saingan Serie A ketika ini berbanding gandingan senegara, Paulo Dybala yang menghuni tangga teratas senarai penjaring terbanyak dengan 10 gol.
Sebagai rakan sepasukan, Dybala berharap agar bekas pemain Real Madrid itu supaya lebih bersabar dan percaya beliau akan kembali menemui sentuhan jaringan.
The Bianconeri telah memenangi kesemua enam perlawanan liga setakat ini dan kemenangan terkini adalah ketika mengatasi Torino dengan keputusan 4-0 pada Sabtu lalu.
Dybala kini sedang menikmati permulaan yang memberangsangkan serta turut menghasilkan dua gol ketika bertemu Torino, Higuain hanya mencetakkan dua gol dan sekadar menjadi pemain simpanan pada perlawanan yang berlangsung di Allianz Stadium itu.
Higuain hanya beraksi selama 10 minit setelah menggantikan Mario Mandzukic pada minit ke-80 permainan.
Bagaimanapun Dybala percaya bahawa rakan senegaranya itu mampu untuk kembali mendapatkan prestasi terbaiknya, dan mengakui beliau sendiri turut merasai nasib yang sama pada permulaan musim lalu.
”Ini bukan merupakan masa yang hebat buat beliau (Higuain) kerana buat seorang penyerang, secara jelasnya, adalah tidak bagus sekiranya anda gagal menjaringkan gol,” katanya kepada Sky Sport Italia.
”Dia hanya perlu ‘relax’ dan akan kembali menemui sentuhan jaringan apabila dia tidak menjangkakannya. Saya bergelut untuk menjaringkan gol pada permulaan liga musim lepas tetapi apabila sudah berjaya melakukan jaringan, anda akan terus melakukannya.”
Kali terakhir Higuain menjaringkan gol dalam saingan liga adalah ketika perlawanan bertemu Chievo pada minit ke-58 di Turin pada 9 September lalu.
Dalam perkembangan lain, Dybala turut menegaskan kejayaan memenangi trofi kejuaraan lebih penting dari jumlah jaringan yang dicatatkannya.
”Menjaringkan gol adalah bagus tetapi yang lebih penting adalah memenangi trofi bersama pasukan,”katanya.
”Kamu mahu tiga kejuaraan tersebut, termasuk menukar keputusan (Liga Juara-Juara Eropah).”
Musim lalu Juventus berjaya menjuarai Serie A buat kali ke-6 berturut-turut serta memenangi Coppa Italia manakala menjadi naib juara Liga Juara-Juara Eropah setelah tumbang ditangan Real Madrid.
Sumber :
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-my/news/dybala-serie-a-goals-will-come-higuain-juventus/g3kcslwon0ei1m0xtpe6fjd4p