Harry Kane dianggap sebagai penyerang ampuh dalam saingan Premier League. Gandingan beliau bersama-sama Son Heung-min jelas sekali cukup menggerunkan pihak lawan.
Begitu banyak jaringan gol dihasilkan beliau, malah Kane juga telah diangkat sebagai ketua pasukan England oleh Gareth Southgate.
Namun, apa saja kejuaraan yang dimiliki oleh beliau selain kejayaan individu? Tiada.
Oleh itu, tidak keterlaluan untuk bekas pemain Manchester United dan Ireland iaitu Roy Keane menasihatkan Kane untuk meninggalkan kelabnya iaitu Tottenham Hotspur.
Pada pendapat Keane, Kane perlu berpindah untuk mendapatkan kejuaraan serta status penyerang elit yang berhak diterimanya.
“Jika anda adalah seorang pemain yang hebat, pastinya anda mahukan trofi.”
“Beberapa bulan ke depan akan menjadi bulan penting buat Tottenham, perlawanan akhir EFL Cup serta misi mendapatkan kedudukan empat ke atas. Terdapat tanda soal yang besar di situ, adakah ianya akan pengaruh Kane?”
“Jika anda berada di tempatnya, keputusan terbaik adalah untuk berpindah. Dia tak akan menang apa-apa di Tottenham,” kata Keane menerusi Sky Sports.
Perkara yang bakal mempengaruhi Kane yang dimaksudkan oleh Keane adalah potensi perpindahan pemain tersebut pada musim panas ini.
Beliau berasakan yang fokusnya kini hanya pada Tottenham dan juga England. Namun beliau juga tidak menolak akan meninggalkan pasukan itu demi kelangsungan karier.
“Saya tidak pasti sama ada akan kekal di Tottenham sepanjang karier atau tidak. Saya tak boleh nak kata ya atau tidak sekarang ini, tetapi saya sangat sayangkan kelab ini.”
“Saya selalu rasakan yang jika kami sebagai pasukan tidak maju atau mara ke arah yang betul, jadi saya tidak akan kekal di sini kerana itu.”
Kane masih mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya bersama kelab utara London itu.
Baca juga artikel kami mengenai Harry Kane:
Lebih Bermakna Jika Kane Menang Piala Di Spurs Berbanding Kelab Lain
Hanya Sekali Gareth Bale-Harry Kane Pernah Main Bersama Pada 2011, Bagaimana Kini?