Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggesa penyokong Liverpool supaya duduk di rumah masing-masing dan tidak berkumpul di sekitar stadium dalam mana-mana perlawanan ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah bersedia untuk kembali beraksi pada minggu ini.
Liverpool kini hanya memerlukan dua kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun. Penangguhan liga sejak pertengahan Mac lalu menambah lagi penantian yang penuh penyiksaan.
Malah Liverpool berpeluang untuk muncul juara lebih awal pada Ahad ini jika mereka menewaskan seteru setempat, Everton dan pesaing terdekat, Manchester City tewas kepada Arsenal.
https://twitter.com/RealnewsMag/status/1273198522070732800?s=20
Semua perlawanan akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong di stadium dan Liverpool yang dijangka tiada masalah untuk menjuarai EPL mungkin akan menjulang trofi dengan disaksikan oleh kerusi-kerusi di stadium sahaja.
Menteri Sukan United Kingdom, Nigel Huddleston memaklumkan kepada Sky Sports bahawa pihak kerajaan mencadangkan supaya beberapa perlawanan mungkin boleh diubah ke gelanggan berkecuali bagi mengelak penyokong berkumpul.
“Bola sepak sudah kembali. Jelas di sini disebabkan beberapa perkara keadaan telah menjadi berbeza sama sekali, tetapi anda masih boleh meraikannya dengan cara yang benar-benar istimewa,” kata Klopp dalam laman web Liverpool.
Beliau mengimbas semula perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Liverpool dan Atletico Madrid yang berlangsung di Anfield pada bulan Mac lalu yang menjadi salah satu punca penularan wabak sehingga menyebabkan banyak kematian.
Justeru itu, Klopp mengatakan semua penyokong perlu bertanggungjawab menjadikannya sebagai pengajaran, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi demi keselamatan keluarga dan orang yang tersayang.
'Kluster Anfield' Antara Punca Peningkatan Mendadak Kes Kematian Di UK https://t.co/mAS9Tw1Hg7 pic.twitter.com/Pxy1xnWIMb
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 26, 2020
“Sebelum ini kita pun tidak tahu yang kita berpeluang untuk kembali beraksi, tambah pula ada khabar angin yang mengatakan saingan musim ini akan dibatalkan dan sebagainya.
“Kini hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk kembali beraksi disebabkan kita dalam beberapa bulan ini telah menunjukkan sikap bertanggungjawab kita dengan tidak berkumpul dan melanggar peraturan penjarakan sosial.”
Beliau turut menambah, pemain juga masih boleh merasai ‘aura’ sokongan dari penyokong setia mereka walaupun di stadium kosong.
“Pesanan akhir saya, jaga keselamatan, sokong kami dari rumah.”