Dua pengadil dari Malaysia telah dipilih untuk mengendalikan dua perlawanan di Vietnam pada Oktober hadapan.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam pada hari ini.
Dua pengadil negara yang dimaksudkan adalah Mohd Amirul Izwan Yaacob dan juga Suhaizi Shukri. Kedua-dua pengadil akan mengendalikan dua perlawanan berasingan, dari tujuh perlawanan yang akan akan berlangsung di Liga Vietnam pada 19 Oktober akan datang.
Perlawanan tersebut juga merupakan pusingan terakhir saingan liga domestik dalam kalendar bola sepak Vietnam.
Dua Pengadil Malaysia Dipilih Kendali Perlawanan V.League 2019
Baca kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di https://t.co/NUCQnJSvHH#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/CJ79YyL8Ku
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 28, 2019
Menurut Stuart, usaha membawa pengadil dari Malaysia ke Vietnam adalah hasil kerjasama FAM bersama Perseketuan Bola Sepak Vietnam (VFF). Melalui kerjasama tersebut, dua pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan dihantar ke negara berkenaan bagi memberikan pengalaman kepada mereka.
Namun demikian, sehingga artikel ditulis tiada maklumat mengenai perlawanan mana satukah yang akan dikendalikan oleh kedua-dua pengadil negara itu. Perlawanan tersebut dipercayai akan ditentukan oleh pihak V-League kemudian.
“FAM berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan kedua-dua pengadil ini dan berharap agar Amirul dan Suhaizi dapat mengendalikan kedua-dua perlawanan itu dengan baik, sekali gus membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh FAM dan VFF.
“Diharap pengalaman yang diraih pengadil-pengadil ini akan dapat memberi manfaat dan membantu kepada pembangunan pengadil di negara ini,” ujar Stuart dalam kenyataan tersebut.