Selepas Mahathir Azeman, dua lagi pemain muda Singapura bakal berkelana di Brazil bersama kelab Rio de Janeiro, Boavista SC.
Dua pemain tersebut, Ryan Goh dan Winchell Ng telah menyertai kem latihan selama sebulan dengan Boavista selepas Krismas 2015.
Seperti Mahathir, kedua-dua pemain berusia 16 tahun tersebut berjaya memikat hati pengurusan Boavista yang menjemput mereka untuk berlatih bersama mereka di sana sekali lagi.
Cuma kali ini, Ryan Goh dan Winchell Ng dijemput untuk berlatih selama 6 bulan pula sebelum diserap masuk dalam skuad bawah-17 Boavista.
Skuad bawah-17 Boavista bakal berentap dalam liga remaja Rio yang turut disertai oleh Fluminense, Botafogo dan Flamengo. Latihan kedua mereka di Boavista bakal bermula pada November 2016 nanti.
Winchell Ng merupakan pemain pertahanan tengah. Manakala Ryan Goh merupakan seorang pemain tengah seperti Mahathir. Kedua-dua pemain ini merupakan pemain skuad remaja Home United dan kapten sekolah menengah masing-masing.
Sebelum ini seorang lagi pemain muda Singapura, Mahathir Azeman menghabiskan masa 18 bulan antara tahun 2013 hingga 2014 di Boavista.
Mahathir sangat dihargai oleh Boavista sehingga diberikan jersi no.10. Mahathir pula membalas dengan menjaringkan 10 gol untuk skuad bawah-17 Boavista.
Mahathir kini berusia 20 tahun dan sedang bermain di S-League bersama Home United.
Fabio da Silva, bekas pemain S-League merupakan individu yang bertanggungjawab mengatur pemergian Mahathir, Ryan dan Winchell ke Boavista.
Di Malaysia, 2 pemain muda Pulau Pinang iaitu S. Kumaahran dan B. Sanjef Dinesh pernah ditawar peluang berlatih di Cruzeiro pada 2011. Selepas 3 bulan latihan, Cruzeiro bagaimanapun tidak berminat untuk menandatangani mereka.
S. Kumaahran dan B. Sanjef Dinesh akhirnya pulang ke skuad Piala Presiden Pulau Pinang. Kumaahran kini bermain untuk skuad senior Pulau Pinang dalam Liga Super, manakala Dinesh bermain untuk DRB-Hicom FC dalam Liga Perdana.
Baca juga: Analisis Jumlah Pemain Muda Dalam Liga Super Dan Liga Perdana Musim 2015