Sujujurnya isu ketandusan penyerang tempatan sudah lama ditimbulkan oleh penyokong bola sepak tempatan. Jadi ia agak menghairankan kami apabila Datuk Ong Kim Swee (OKS) baru menimbulkan isu tersebut kelmarin.
Dalam artikel Astro Arena semalam, OKS memberitahu beliau tidak menjumpai penyerang tempatan yang mampu menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
“Sampai hari ini, kami tidak dapat lihat pemain (penyerang) tempatan yang betul-betul bersinar. Inilah masalah yang saya perlu hadapi pada setiap perlawanan.”
Isu ketandusan penyerang vs isu taktikal?
Bagi kami isu ketandusan penyerang jauh lebih penting berbanding isu taktikal pasukan.
Tanpa penyerang tempatan yang berkebolehan, mustahil untuk kita menjaringkan gol dan menang – walau secantik mana pun taktikal kita bermain.
Kecualilah jika kita mempunyai pemain tengah berkualiti yang boleh bermain sebagai false nine – sesuatu yang mustahil untuk berlaku di Malaysia jika kita melihat kualiti teknikal dan kebijaksanaan taktikal pemain kita.
Dengan penyerang tempatan yang berkebolehan, kita boleh menang walaupun bermain buruk.
Itulah kelebihannya jika pasukan kebangsaan mempunyai penyerang yang bagus. Pasukan tidak perlu bermain cantik (atau tiki taka mengikut kata OKS) untuk menang.
Tetapi apabila kita gagal bermain dengan cantik dan gagal menjaringkan gol pula, OKS patut faham mengapa penyokong marah.
Sebab itulah kami merasakan isu ketandusan penyerang tempatan adalah isu lebih penting yang perlu diselesaikan oleh OKS terlebih dahulu. Ia lebih penting daripada isu taktikal.
Salah pemain import?
Dalam sidang media kelmarin, OKS turut menyalahkan kebanjiran pemain import sebagai salah satu punca masalah tersebut.
“Dah tentu dengan adanya ramai pemain import, skuad kebangsaan kita akan menghadapi masalah mencari penyerang yang cukup berkaliber.”
Persoalan yang kami mahu tanya OKS adalah:
Mengapa anda rasa majoriti pasukan Liga Super dan Liga Perdana banyak menggunakan penyerang import?
Bagi kami, jawapan kepada soalan di atas boleh diperolehi dari pelbagai isu iaitu:
- kegagalan jurulatih akar umbi tempatan menghasilkan penyerang berkualiti,
- kegagalan bos anda iaitu FAM melahirkan jurulatih akar umbi yang berkualiti,
- kecenderungan pasukan liga mengejar matlamat jangka masa pendek
- ketidakberanian anda sendiri untuk mencuba penyerang muda tempatan.
Jurulatih tak berkualiti
Mengenai isu kegagalan jurulatih akar umbi tempatan menghasilkan penyerang berkualiti, kami pernah menulis dalam artikel ‘5 Pengajaran Penting Daripada Lim Teong Kim Semasa Forum Bola Sepak Malaysia‘:
“Kita sebagai jurulatih tak boleh bagitahu pemain; mereka tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Kita mesti beri kebebasan kepada pemain.”
Dalam artikel ini, pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim menjelaskan apabila ramai jurulatih akar umbi Malaysia melakukan micro-managing kepada pemain, ia membuatkan pemain tidak berani mengambil risiko.
Sedangkan untuk menjadi penyerang yang bagus, pemain muda perlu diberikan kebebasan kreativiti dan insentif untuk mengambil risiko.
FAM pula sebagai badan pentadbir bola sepak Malaysia perlu bertanggungjawab atas kegagalan jurulatih akar umbi tempatan.
Dalam artikel yang sama, kami turut menulis:
Dalam sesinya, Lim Teong Kim turut mengajak audiens menganalisis video perlawanan final Liga KPM Bawah-14 antara Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dengan Sekolah Sukan Negeri Sembilan.
Melihat kedua-dua pasukan yang masih bermain long ball secara membabi-buta seperti abang-abang mereka di skuad kebangsaan senior, audiens rata-ratanya berasa kecewa.
Bayangkanlah apabila sejak berumur bawah-14 tahun lagi, pemain sekolah sukan sudah diajar bermain dengan falsafah bola sepak yang lapuk dan ketinggalan.
Patutlah apabila mereka menginjak dewasa, tabiat bermain long ball secara membabi-buta seakan sudah tersemadi dalam DNA mereka.
Kita tak boleh menyalahkan pemain sekolah sukan kerana mereka diajar bermain sebegitu sejak kecil.
Kita juga tak boleh menyalahkan jurulatih sekolah sukan 100%. Ini adalah salah FAM kerana mereka gagal mendidik jurulatih sekolah sukan menjadi jurulatih akar umbi yang lebih bagus.
Sebab itulah masih banyak penyerang tempatan kita yang lemah kemahiran teknikal dan taktikalnya.
Matlamat jangka pendek vs jangka panjang
Dalam artikel ‘Mengapa Menyalahkan Kegagalan Penyerang Tempatan Atas Polisi Pemain Import Adalah Idea Bodoh‘, kami menjelaskan mengapa penyerang kita gagal dalam liga tempatan sendiri.
Kebanyakan pasukan hanya mengejar matlamat jangka masa pendek iaitu – menang trofi.
Untuk menang trofi, pasukan beria-ria mengisi 4 slot pemain import walaupun tiada kemampuan kewangan.
Ini menyebabkan matlamat jangka masa panjang seperti membangunkan penyerang muda tempatan menjadi terabai.
Jika ada penyerang tempatan pun, mereka akan ditukar menjadi pemain sayap kerana 2-3 pemain import sudah mengisi slot penyerang.
Sebab itulah semakin ramai penyerang tempatan kita hilang sentuhan penyudah.
OKS tak berani?
Kami terjumpa dengan satu status Facebook yang bernas yang menjelaskan isu ini dengan baik sekali:
KEMELUT KETANDUSAN PENYERANG BERBISA UNTUK SKUAD KEBANGSAAN ?Berapakah umur Fandi Ahmad ketika beliau buat pertama…
Posted by Johor Football Club Klang Valley – JFCKV on Tuesday, January 19, 2016
Bak kata pepatah; kalau tak dipecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya?
Kalau tak dicuba penyerang Liga Perdana dan FAM yang muda-muda tetapi berbakat ini, mana nak tahu bagusnya mereka?
Sudahlah talent pool penyerang kita terhad, OKS pula takut-takut untuk mencuba penyerang muda.
Adakah OKS tidak memerhatikan langsung aksi Liga Perdana dan FAM?
Adakah OKS menganggap Nurshamil Abdul Ghani (gambar bawah) atau Najmuddin Samat masih terlalu mentah untuk pasukan kebangsaan yang rendah standardnya?
Bak kata si penulis status ini, sudah tiba masanya untuk kita bersikap terbuka dan berani.
Ketika ini, we have nothing to lose. Ranking kita sedang teruk. Pemain kebangsaan sedia ada pula seolah-olah selesa kerana tak dicabar oleh lambakan pemain tempatan yang berkualiti.
Jika kita seri 0-0 menentang Macau dengan Nurshamil Abdul Ghani atau Najmuddin Samat sebagai penyerang kita, sekurang-kurangnya penyerang muda kita mendapat pengalaman berharga.
Jika mereka menambilkan persembahan buruk sekalipun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai masa untuk memperbaikinya.
Sekarang apa pula faedahnya seri 0-0 menentang Macau kepada 2 penyerang veteran yang sudah melepasi zaman kegemilangan mereka?
Baca juga: 4 Komen Utama Penyokong Malaysia Selepas Seri 0-0 Dengan Pasukan Semi-Pro Macau