Pasukan Liga Super, Perak bakal diuji oleh dua lagi kelab dari Singapura dalam persediaan mereka sebelum kempen liga bermula hujung Februari ini.
Mereka akan melakukan sesi pra-musim mereka di Singapura bermula dengan mengadakan perlawanan pada 6 dan 9 Februari ini.
Untuk perlawanan pertama, Perak akan bertemu Balestier Khalsa SC di Stadium Toa Payoh pada jam 5 petang pada aksi yang akan diadakan pada hari Khamis itu.
Seterusnya, Perak akan diuji pula oleh Geylang International FC pada tiga hari kemudian dengan perlawanan bakal diadakan di Stadium Jurong Barat pada waktu sepak mula yang sama.
Balestier Khalsa SC merupakan pasukan tercorot S-League pada musim lalu sementara Geyland International menduduki tangga kelima dalam saingan liga sembilan pasukan itu.
Sebelum ini, Perak telah menjalani perlawanan pra-musim menentang Pulau Pinang di Georgetown dengan menyaksikan mereka tewas dengan jaringan 0-2.
Perak juga akan berhadapan Kedah pada 15 Februari ini dalam aksi Unity Cup yang kali ini memasuki edisi kedua penganjuran.