Harga Tiket Di Stadium Perak Kekal

Persatuan Bola  Sepak Perak (PAFA) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaikkan harga tiket sedia ada di Stadium Perak pada musim ini.

Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri yang ditemubual Sinar Harian berkata, langkah itu adalah untuk memastikan penyokong The Bos Gaurus akan terus hadir ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan.

Tambahnya langkah itu akan turut menarik minat penyokong pasukan lawan yang bertandang ke Ipoh dan sekaligus dapat memeriahkan lagi suasana di dalam stadium.

“Kita akan terus kekalkan harga tiket sebab kita rasa ia lebih sesuai dengan keadaan di Perak ketika ini. Lagipun kita nak tarik lebih ramai orang tidak kira penyokong Perak atau penyokong pasukan lawan datang ke Stadium Perak.” kata Azlin.

Harga tiket di Stadium Perak ketika ini adalah RM12 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 7 tahun. Bagi tempat duduk grandstand pula, harga yang ditetapkan adalah RM25 bagi dewasa dan RM12 bagi kanak-kanak.

Keputusan tersebut bermakna Perak tidak akan mengikut langkah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang memperkenalkan harga tiket mengikut ‘kelas’ perlawanan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

“Bagi saya, FAS mungkin sudah mempunyai perancangan mereka yang tersendiri apabila mengenakan harga tiket berbeza-beza mengikut perlawanan tertentu,” katanya lagi.

Mengulas mengenai penggunaan Komples Bola Sepak Perak, Chepor yang baru sahaja diterima baru-baru ini, Azlin menjelaskan pihaknya kini sedang menyusun semula jadual latihan membabitkan semua pasukan di bawah naungan PAFA.

“Sebenarnya buat masa ini setiap pasukan kita seperti Perak, Perak II, pasukan Piala dan Piala Belia sudah memiliki lokasi latihan masing-masing. Bagi skuad Liga Super, mereka berlatih di Stadium Perak dan skuad Piala Presiden di Padang Pernama.

“Bila dah terima kunci kompleks ini, kita akan susun semula jadual pasukan mana yang sesuai untuk berlatih di situ sebab kita tak dapat nak tampung semua pasukan,” katanya.

Kredit Foto: Perak TBG

Leave a Reply