Dua Jaringan Menarik ‘Ikat’ Tottenham Hotspur Dan West Ham United

Tottenham Hotspur

Dua jaringan menerusi rembatan dari jarak jauh masing-masing menerusi Pedro Obiang dan Son Heung Min mewarnai perlawanan di antara Tottenham Hotspur dan West Ham United yang terikat dengan keputusan 1-1 di Stadium Wembley.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Tottenham Hotspur dilihat begitu mendominasi permainan di babak pertama dengan tidak membenarkan West Ham United melakukan sebarang percubaan ke arah gawang mereka yang dikemudi Hugo Lloris.

Peluang sulung Spurs menjelma menerusi sepakan dari jarak jauh yang dilakukan penyerang prolifik, Harry Kane. Bagaimanapun percubaan tersebut berjaya ditolak keluar penjaga gol lawan, Adrian.

Selang dua minit kemudian, giliran Christian Eriksen pula menguji kekentalan pertahanan West Ham United dengan satu percubaan luar kotak penalti. Percubaan hasil permainan ‘satu-dua’ Eriksen bersama Harry Kane tersebut hanya tersasar sipi dari tiang gol sebelah kiri.

Kane kemudiannya menerima hantaran lintang dari Serge Aurier dihadapan gawang gol pelawat, namun penyerang berusia 24 tahun itu berada dalam keadaan hampir terjatuh yang menyebabkan beliau gagal untuk melakukan percubaan.

Eriksen sekali lagi meledak percubaan dari jarak jauh tetapi Adrian lebih tangkas bagi menepis percubaan tersebut untuk menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan terikat tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, Tottenham terus menggandakan asakan bagi memburu jaringan pembukaan.

Percubaan demi percubaan yang dilakukan jentera serangan Spurs juga masih menemui jalan buntu dek kerana disiplin tinggi yang dipamerkan pertahanan West Ham United.

Tanpa disangka-sangka, percubaan pertama yang dicipta pasukan pelawat merupakan jaringan pembukaan pada perlawanan ini.

Jaringan tersebut terhasil apabila Pedro Obiang berjaya merembat padu percubaan dari jarak jauh yang sekaligus terus menerjah gawang Tottenham pada minit ke-70.

Tersentak dengan jaringan itu skuad bimbingan Mauricio Pochettino memperkemaskan aksi untuk kembali menyamakan kedudukan.

Usaha tersebut ternyata membuahkan berhasil setelah pemain antarabangsa Korea Selatan, Son Heung Min pula menjaringkan jaringan menarik dari luar kotak penalti untuk menceriakan kem Spurs pada minit ke-84.

Jaringan tersebut menyamarakkan lagi semangat para pemain Tottenham untuk menambah jaringan, namun pertahanan West Ham kental bertahan untuk perlawanan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Satu mata yang dikongsi kedua-dua pasukan membawa makna yang berbeza.

Tottenham Hotspur sudah pasti kecewa dengan keputusan ini walaupun mereka begitu mendominasi perlawanan dan satu kelegaan buat West Ham kerana dapat mengelakkan diri dari mengalami kekalahan bertemu pasukan ditangga ke-5 liga itu.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN