Gianluigi Donnarumma sah tidak akan menandatangani kontrak lanjutan dengan AC Milan menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh CEO AC Milan, Marco Fassone dalam satu sidang media mengejut semalam.
Dalam sidang media tersebut, Fassone memberitahu media, “Daripada menunggu kenyataan media rasmi, saya rasa lebih senang jika saya memberitahu anda [media] terus tentang kes Donnarumma berdasarkan pertemuan saya dengan Mino Raiola sebentar tadi.”
“Raiola memberitahu kami bahawa Donnarumma telah mengesahkan keputusannya untuk tidak menandatangani kontrak lanjutan dengan Milan. Keputusan ini muktamad dan dibuat oleh Donnarumma sendiri.”
Fassone turut mengingatkan media bahawa AC Milan telah mencuba sedaya-upaya mereka untuk mengekalkan Donnarumma:
“Saya ingin mengingatkan anda semua bahawa 10 hari lepas Massimiliano Mirabelli (pengarah kelab) telah menawarkan kontrak lanjutan kepada pemain tersebut. Kontrak itu jauh lebih lumayan berbanding laporan di beberapa akhbar.”
Sebagai rekod, akhbar-akhbar di Itali melaporkan Donnarumma ditawarkan kontrak bernilai €4.5 juta tak termasuk bonus kepada penjaga gol berusia 18 tahun itu.
Ketika ini kontrak Donnarumma dijadualkan akan luput selepas tarikh 30 Jun 2018.
Fassone kemudiannya menyambung, “Donnarumma telah menilai tawaran kontrak tersebut bukan sahaja dari segi ekonomi. Malah dari segi teknikal dan profesional. Dan beliau mengambil keputusan untuk menolak tawaran lanjutan kontrak kami.”
“Kami sangat terkejut kerana kami mengharapkan Donnarumma akan menjadi penajga gol yang membawa Milan ke masa depan yang cerah.”
“Keputusan ini pahit untuk diterima tetapi perlu kita lupakan. Kita perlu terus maju ke depan,” kata Fassone (gambar bawah) sebelum mengakhiri sidang medianya.
Mengecewakan penyokong AC Milan
Sebelum kami ada melaporkan ultras AC Milan, Curva Sud Milano yang menempelak ejen Donnarumma, Mino Raiola yang menghasut kliennya supaya memasukkan klausa tambahan dalam tawaran kontrak lanjutannya di Milan.
Curva Sud Milano turut mahu Donnarumma membuktikan cintanya kepada AC Milan dengan menandatangani kontrak lanjutan tersebut.
Bagaimanapun dengan pengesahan Fassone dalam sidang media semalam, jelas lagi bersuluh bahawa Donnarumma tidak lagi berminat bermain di AC Milan untuk jangka masa panjang.
Malah perbuatan abang ipar Donnarumma yang menulis mesej ‘Siapa yang kutuk anda, tak kenal anda. Milan, kelab penuh dengan badut’ di Instagram menjelaskan hati Donnarumma bukan di AC Milan lagi.
Mesej tersebut sudah dipadam tetapi sempat disimpan oleh penyokong Milan.
Ini pastinya akan mengecewakan penyokong AC Milan. Di Reddit, beberapa penyokong AC Milan sudah memanggil Donnarumma sebagai ‘snake’ dan ‘Dollarumma’.
Ada juga yang tidak mahu melihat kelibat Donnarumma di bandar Milan lagi.
Lagenda AC Milan, Enrico Albertosi pula menganggap Donnarumma telah mengkhianati kelab dan tak faham dengan keputusannya untuk berhijrah seawal usia 18 tahun.
Albertosi yang pernah menyarung jersi AC Milan dari tahun 1974 hingga 1980 memberitahu media:
“Agak gila sebenarnya bila budak 18 tahun boleh menolak kontrak lumayan dari kelab besar untuk berhijrah ke entah mana,” katanya.
“Beliau mungkin tak dapat jadi penjaga gol piliha pertama pun di luar Milan kerana beliau belum membuktikan dirinya penjaga gol terbaik. Prestasinya bagus di Milan. Tetapi ada juga kesilapannya.”
“Beliau telah mengkhianati Milan – kelab sama yang mempercayai kebolehannya dan melancarkan kariernya pada umur 17 tahun. Saya pasti keputusannya 100% salah.”
Plizzari harapan baru AC Milan
Dengan Donnarumma tidak lagi berada dalam pelan jangka masa panjang AC Milan, penyokong-penyokong mereka kini melihat Alessandro Plizzari sebagai pengganti ideal beliau.
Untuk pengetahuan anda, Plizzari yang baru berusia 17 tahun kini merupakan penjaga gol ke-3 skuad senior AC Milan dan masih bermain untuk skuad Primavera. Beliau turut mewakili Itali dalam kempen Piala Dunia Bawah-20 baru-baru ini.
Penyokong AC Milan pastinya berharap Plizzari mampu menjadi penjaga gol yang lebih hebat – jika tidak setaraf – daripada Donnarumma.
Tetapi mereka harus realistik – Plizzari masih terlalu mentah dan cenderung melakukan kesilapan ketika kempen Piala Dunia Bawah-20 yang lepas. Milan harus mendapatkan penjaga gol yang baru.
Sementara itu buat Donnarumma, beliau baru saja membakar jambatannya ke Milan. Ke mana pula destinasi Donnarumma yang seterusnya?
Sumber:
1. Football Italia staff, www.football-italia.net (2017), OFFICIAL: DONNARUMMA WON’T RENEW
2. Susy Campanale, www.football-italia.net (2017), Done with Donnarumma
3. Reddit (2017), Donnarumma not renewing his contract with Milan
4. Football Italia staff, www.football-italia.net (2017), Albertosi: ‘Donnarumma betrayed Milan’