Penyerang berusia 30 tahun, Dominique Da Sylva kini bakal menjadi teraju serangan Terengganu dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini.
Laporan The Star Online mengatakan pengendali Terengganu iaitu Nafuzi Zain memasang keyakinan tinggi penyerang itu mampu memberikan impak yang dimahukan pada musim ini.
Setakat ini, Nafuzi berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh Da Sylva dengan pemain itu sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan pasukannya.
“Kecergasan beliau telah meningkat tetapi kita harus ingat, beliau masih lagi dalam proses menyesuaikan diri.”
“Saya percaya dengan kerja keras diberikan beliau dan pemain-pemain lain pada musim ini, kita dapat berikan impak pada Liga Malaysia.”
Da Sylva menarik perhatian penyokong Sang Penyu selepas pemain itu menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Kelantan United.
Terengganu kini dalam siri jelajah ke Kuala Lumpur dan akan bertemu beberapa pasukan seperti Svay Rieng dari Kemboja, Kuala Lumpur dan juga Hougang dari Singapura.
Selepas itu, mereka akan ke Bangkok, Thailand untuk siri jelajah kedua sebelum liga bermula.