Menerusi laman Instagramnya, pertahanan muda negara, Dominic Tan telah mengumumkan akan meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam, selepas empat musim bersama Harimau Selatan.
Dalam ucapannya itu, pertahanan tengah skuad Sukan SEA 2019 itu mengucapkan selamat tinggal dan menyatakan menjadi satu kebanggaan buatnya untuk menjadi sebahagian keluarga JDT.
Dominic Tan turut mengucapkan terima kasih kepada kelab, rakan sepasukan, pegawai pasukan dan juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) selain para penyokong JDT atas segalanya sepanjang bersama.
“Terima kasih JDT. 4 tahun yang menakjubkan bersama JDT. Terima kasih kepada para penyokong, rakan sepasukan, pegawai pasukan terutamanya DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang membuatkan saya seperti berada di rumah. Satu penghormatan dapat menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Merah biru selamanya,” titipnya di laman Instagramnya semalam.
Ia adalah sesuatu yang diluar jangkaan kerana pada usia 22 tahun, pemain yang boleh dianggap sebagai aset masa depan untuk JDT itu, akhirnya telah memilih untuk haluan baharu dalam kariernya.
Walaupun khabar angin menyatakan beliau akan menyertai sebuah pasukan Liga Super, namun tidak dijelaskan ke mana hala tujunya untuk musim hadapan dan juga mengapa beliau memilih untuk meninggalkan JDT pada usia yang muda di dalam posting itu.
Adam Nor Azlin dan Dominic Tan merupakan bakat muda yang dilihat bakal menggantikan kapten skuad kebangsaan ketika ini, Aidil Zafuan di benteng JDT, beberapa musim akan datang.
Sepanjang menyertai JDT sejak 2016, pertahanan kental ini dilihat lebih kerap dipinjamkan ke kelab luar negara berbanding beraksi bersama Harimau Selatan. Sepanjang empat tahun, Dominic lebih banyak bermain JDT II selain beraksi bersama Vilaverdense FC pada 2018 dan Police Tero FC di Thai League 2, pada musim lalu.
Police Tero FC meraih promosi ke Thai League 1 untuk musim 2020 dan dijangka sukar buatnya untuk menyertai kelab tersebut secara tetap selepas lebih banyak di bangku simpanan pada musim 2019.
Ketika bersama Vilaverdense FC dan Police Tero FC, pertahanan kelahiran Singapura ini hanya berhasil membuat satu penampilan. Adakah faktor memburu minit permainan menjadi punca pemain berbakat besar ini meninggalkan JDT untuk musim hadapan?
Kredit Foto: Facebook Dominic Tan