Selain Hadi Fayyadh yang dilihat bertahan lama di J-League, kelibat Dominic Tan di Police Tero juga sudah memasuki fasa yang agak lama iaitu sejak tahun 2019.
Bermula sebagai pemain pinjaman di Police Tero FC, Dominic Tan akhirnya menyertai mereka secara tetap pada musim 2020 dan sepanjang musim tersebut, beliau telah tampil beraksi dalam 14 perlawanan dengan lima kali dalam kesebelasan utama.
Jika dikirakan mengikut musim, ia masih musim kedua buatnya di Thai League 1 apabila musim 2020 masih rancak berlangsung dan sedang dalam usaha untuk ditamatkan dengan berbaki kurang lebih 11 perlawanan lagi untuk menutup tirai.
Following the discussion between the clubs, Thai League, and FA Thailand in the meeting today, it is concluded that Thai League will resume in this September and the competition calendar will be changed to September 2020 to April or May 2021.
Wait for the official news again. pic.twitter.com/CJEB7d5Xi6
— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) April 14, 2020
‘Di sini, saya semakin bagus sebagai seorang pemain’
Bercakap kepada The Star, Dominic Tan berkata yang sebagai pemain, beliau telah melalui peningkatan yang sangat baik sejak bersama Police Tero walaupun mengakui yang JDT masih sebuah kelab yang besar yang pernah disertainya sebelum ini.
Ujarnya mengenai perkembangannya, “Saya berasal dari JDT dan tanpa ragu-ragu, Harimau Selatan adalah sebuah kelab yang memiliki status lebih besar berbanding Police Tero namun, saya semakin bertambah baik sebagai pemain di sini.”
Bersama JDT sejak musim 2016, pemain berusia 23 tahun itu dilihat lebih banyak beraksi di JDT II di Liga Premier selain pernah dipinjamkan ke Vilaverdense di Portugal bersama-sama Syamer Kutty Abba untuk musim 2017/18 selama lima bulan.
Sebagai pemain yang masih muda, beliau memburu minit permainan yang kompetitif bagi membantunya meningkatkan kemampuannya seterusnya dapat mewakili negara.
Dominic, who has been playing for Thai League One side Police Tero since last year, believes that every sacrifice he makes will make him a stronger player and person. #T1 #HarimauMalaya #TeamMalaysia #Football #MalaysiansAbroad
https://t.co/6fLEIcliTV— T. Avineshwaran (@avineshW90) February 12, 2021
Prospek bek tengah skuad Harimau Malaya
Untuk rekod, beliau telah tampil sebanyak dua kali bersama Harimau Malaya dan sudah tentu dengan perkembangan terkininya di Thai League 1 bakal membantunya untuk mencuri perhatian pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Berbanding beberapa rakan sebayanya untuk posisi bek tengah di Liga Malaysia (Liga M), mereka lebih banyak memanaskan bangku simpanan seperti Adam Nor Azlin sementara Irfan Zakaria sedikit beruntung berjaya meraih minit permainan yang lebih.
Bersama Kedah, Irfan Zakaria menjadi tonggak di benteng sepanjang musim lalu sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke KL United musim 2021. Untuk musim 2020, Irfan Zakaria tampil dalam sembilan daripada 11 perlawanan.
Dalam skuad kebangsaan ketika ini, dua pilihan utama untuk bek tengah adalah Aidil Zafuan dan Shahrul Saad dengan Dominic Tan, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria dilihat sebagai pemain yang berpotensi untuk menjadi pilihan seterusnya.
Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Quentin Cheng and Irfan Zakaria are 1.8m or more tall. Finally some decent height. pic.twitter.com/h2w207tiWv
— Lee Seng Foo🇲🇾李成富 (@sengfoo88) November 21, 2019
Sudah lama tidak sambut perayaan CNY
Dan segalanya tidak datang dengan mudah buat pemain yang memiliki ketinggian 182cm ini apabila sudah beberapa kali terlepas untuk merayakan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarganya di Malaysia. Katanya, beliau menerimanya dengan positif dan percaya segala pengorbanannya telah menjadikannya lebih kuat.
Ujarnya mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, “Kami melalui jadual yang padat ketika ini disebabkan penangguhan liga di Thailand berpunca daripada COVID-19. Jadi saya rasa Tahun Baharu Cina adalah hari normal bagi saya saat ini. Sejak bergelar pemain profesional, saya jarang dapat menyambut perayaan bersama keluarga.”
“Kami hanya bertemu di FaceTime, itu sahaja,” jelasnya lagi sambil menegaskan yang saingan di Thai League sangat mencabar dirinya sebagai seorang pemain.
“Liga di sini sangat kompetitif dengan setiap pasukan memiliki kekuatan mereka yang tersendiri dan mana-mana pasukan memiliki peluang untuk mengatasi antara satu sama lain. Konsisten adalah kuncinya. Saya hanya mahu fokus dengan apa yang saya ada sekarang dan berikan yang terbaik jika diberikan peluang,” tambahnya.
Dengan pengalaman yang diraihnya ketika ini di Thai League bersama Police Tero, tidak mustahil beliau kini adalah calon utama sebagai pengganti Aidil Zafuan atau Shahrul Saad bersama skuad kebangsaan, sekiranya mereka berdua tidak dapat beraksi. Agak janggal jika beliau diketepikan daripada kem Harimau Malaya selepas ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: POLICE TERO
Baca lagi artikel lain mengenai Dominic Tan dan Harimau Malaya:
XI Harimau Malaya: Adakah Harimau Selatan Telah Jadi Harimau Malaya?
FAM, KBS, MSN Temui Jalan Penyelesaian Demi Kejayaan Harimau Malaya