Pemangku ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh menyambut baik kehadiran legenda Singapura, Fandi Ahmad sebagai penasihat teknikal kelab tersebut.
Bekas pengendali kebangsaan ini tiada masalah untuk bekerjasama dengan Fandi memandangkan mereka pernah beraksi bersama dengan skuad Pahang pada musim 1991-1992.
“Tiada masalah untuk saya bekerja dengan Fandi, kami memang sudah lama kenal antara satu dengan lain. Bagi saya, kehadiran Fandi memudahkan kerja saya.
“Memandangkan Fandi baru tiba dari Singapura hari ini (Jumaat), saya masih mengendalikan latihan kerana dia masih belum mengenali pemain-pemain Sri Pahang.
“Saya ada berbincang dengan Fandi sedikit mengenai taktikal untuk berdepan Penang, tetapi tak dapat bincang lama kerana Zainal (Abidin Hassan) tiba-tiba sertai kami masa makan tengah hari,” kata Dollah sambil berseloroh ketika dihubungi Semuanya BOLA pada Jumaat.
Sebelum ini, Dollah lebih kerap bergandingan dengan Zainal sama ada selaku pengurus atau jurulatih Pahang yang menyaksikan mereka meraih beberapa kejuaraan seperti Piala Malaysia 2014 dan Piala FA 2018.
Dollah akui bukan mudah untuk mengambil alih pasukan daripada jurulatih lain pada pertengahan musim kerana setiap jurulatih mempunyai pilihan pemain tersendiri.
“Memang bukan mudah mengambil alih pasukan di pertengahan musim kerana ia ibarat kita perlu mencongak taktikal terbaik tanpa ramuan yang mencukupi. Jadi ia cukup mencabar sebenarnya.
“Kerana itu saya amat mengalu-alukan kedatangan Fandi, sudah pasti dia juga mempunyai idea tersendiri dan kita akan bekerjasama dengan baik demi kepentingan Sri Pahang,” tambah Dollah.
Sebagai pemain, Fandi mempunyai reputasi hebat dan meskipun sudah dua dekd bersara dia masih dianggap sebagai ikon bola sepak negaranya sehingga hari ini.
Sebagai jurulatih, Fandi penah menjuaai S-League ketika mengendalikan pasukan Singapore Armed Forces pada musim 2000 dan 2002 serta turut memenangi anugerah Jurulatih Terbaik S-League pada musim 2000.
Dalam saingan Liga-M, Fandi pernah mengendalikan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013 sebelum mengendalikan Lions XII pada 2015 yang menyaksikan mereka meraih kejuaraan Piala FA.
Meskipun Lions XII beraksi selaku wakil Singapura dalam saingan Liga Super 2015, mereka tidak membariskan pemain import dan menggunakan sepenuhnya pemain tempatan mereka.
Fandi kemudian mengisi beberapa jawatan berbeza bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) seperti penolong jurulatih kebangsaan, pemangku ketua jurulatih dan jawatan terakhir adalah sebagai ketua pembangunan bakat muda elit.
Justeru, tidak mustahil kehadiran Fandi berupaya memberi nafas baru buat Pahang yang setakat ini menghuni tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super.