Jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh cukup berpuas hati dengan persembahan skuad beliau dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2019.
Walaupun sudah memperoleh tiga gol di tempat lawan pada perlawanan pertama, para pemain Pahang tetap menampilkan persembahan yang bertenaga di hadapan penyokong sendiri.
“Para pemain bermain seperti biasa, tiada aksi sambil lewa. Alhamdulillah, para pemain dapat mengekalkan momentum. Semangat terus tiba selepas berjaya mendapatkan gol.”
Dollah juga turut memberikan kredit kepada Melaka United yang berjaya mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding di Stadium Hang Jebat sehingga memberikan tentangan sukar kepada Pahang.
Pahang turut beraksi tanpa beberapa pemain utama mereka seperti Muslim Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha dan juga Safuwan Baharuddin.
Bagi pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, skuad beliau telah memberikan sedaya upaya kemampuan mereka untuk menewaskan Pahang.
“Kami mencuba walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama tapi kami cuba lagi pada 45 kedua. Para pemain tunjuk kepada saya usaha mereka untuk kembali dalam suku akhir ini.”
“Apa yang paling mengecewakan adalah kekalahan suku akhir pertama di mana kami tewas 3-0. Untuk melakukan kebangkitan menentang pasukan seperti Pahang di Darul Makmur sememangnya sukar.”
Pahang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia 2019 selepas memperoleh kemenangan 3-1 di laman sendiri.
Gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh Lazarus Kaimbi dan juga jaringan berganda Dickson Nwakaeme. Nazrin Nawi menjaringkan gol sagu hati Melaka United.
Pahang akan bertemu Kedah di separuh akhir.