Biarpun turun dengan rombakan besar dalam kesebelasan utama, pengendali Pahang, Dollah Salleh nyata berpuas hati dengan apa yang dilihatnya malam tadi.
Begitupun, beliau meluahkan sedikit kurang berpuas hati dengan aksi tiga puluh minit awal babak pertama yang menyaksikan Tok Gajah langsung tidak bermain dengan baik malah menurutnya lagi, anak buahnya tiada langsung corak permainan.
Tiada langsung corak permainan
Pahang yang turun tanpa beberapa tonggak pertahanan seperti bek tengah import Khalil Khamis, S. Kumaahran dan Fazly Mazlan selain pemain berpengalaman, Faisal Rosli itu dikatakan akan dibelasah oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).
Seakan-akan mahu menjadi kenyataan, tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan tiga gol dalam tempoh 35 minit apabila Leandro Velazquez, Ramadhan Saifullah dan Gonzalo Cabrera meledak gol buat pelawat untuk mendahului 3-0.
Dollah Salleh berkata di sidang media, “Memang kita ketinggalan 3-0. Saya rasa setengah jam awal, kita bermain dengan terlalu hormat kepada pasukan lawan sebab itu kita hilang punca dan corak permainan kita pun tiada langsung.”
“Di situ JDT ambil kesempatan,” tambahnya yang terpaksa menyenaraikan beberapa pemain muda dalam skuad utama dan juga di bangku simpanan. S. Kumaahran dan Fazly Mazlan tidak bermain kerana bertemu kelab yang meminjamkan mereka.
Bangga dengan pemain muda
Faisal Halim mungkin antara pemain muda yang menyerlah dalam perlawanan malam tadi dengan beberapa asakan berjaya diaturnya bersama kapten, Dickson Nwakaeme. Kelincahannya menjadi duri dalam daging buat barisan benteng JDT.
Selainnya, Dollah Salleh turut meletakkan Ashar Al-Aafiz, Shahrul Nizam dan Arisazri Juhari yang baginya mempamerkan aksi baik biarpun sebelum ini tidak beraksi.
“Selepas kita dapat jaring gol pertama, barulah pemain-pemain dapat keyakinan. Saya rasa bangga walaupun pemain-pemain yang saya ada ini tetapi kita masih dapat menyaingi JDT. Cuma keputusan tidak menyebelahi kita,” tegasnya lagi.
“Saya sangat berpuas hati dengan kemasukkan pemain-pemain muda, kami tetap memberi saingan khasnya dalam separuh masa kedua. Saya percaya kita akan lebih mantap lagi pada perlawanan akan datang, insyaAllah,” tambahnya.
Penutup
Dengan kenyataan Dollah Salleh itu, mungkin kita dapat menjangkakan barisan pemain muda akan terus diberikan kepercayaan untuk beraksi olehnya selepas ini.
Kehilangan pemain sayap dan juga bintang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dilihat turut memberi kesan kepada jentera serangan Pahang apabila majoriti gerakan ke kubu lawan hanya digerakkan di bahagian tengah sahaja.
KREDIT FEATURED IMAGE: STADIUM ASTRO