MSL 2020: Skuad ‘Tempang’ Pahang Tewas Tipis Kepada JDT

Ramadhan Saifullah JDT Pahang Liga Super 2020

Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2020 apabila menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur.

Ini merupakan perlawanan pertama JDT yang melibatkan banyak gol selepas lima aksi – lebih daripada tiga gol, yang mana sebelum ini dalam aksi minggu ke-2, JDT berhasil memperolehi kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Tidak menunggu lama, JDT berhasil menjaringkan gol pertama menerusi pemain tengah, Leandro Velazquez pada minit ke-5. Gol pertamanya untuk musim 2020 itu diledak daripada jarak jauh melalui sepakan percuma menggunakan kaki kirinya.

Pahang tampak bergelut untuk mengatasi penguasaan JDT sepanjang 10 minit pertama dengan tiada asakan mampu dijelmakan oleh jentera serangan yang dikemudi kapten, Dickson Nwakaeme. Mereka lebih banyak mengejar pemain lawan.

Turun dengan banyak perubahan dalam kesebelasan utama, Pahang tanpa beberapa pemain utama sebelum rehat panjang antaranya Khalil Khamis, S. Kumaahran dan paling jelas tanpa pemain sayap kanan, Mohamadou Sumareh.

Minit ke-15, Harimau Selatan melebarkan kedudukan dengan gol kedua menerusi pemain muda, Ramadhan Saifullah. Larian pantasnya telah berjaya menewaskan bek kiri tuan rumah, R. Dinesh sebelum mudah memperdaya Sharbinee Allawee.

Ia bermula dengan hantaran jarak jauh yang baik oleh Afiq Fazail yang melepaskan Ramadhan Saifullah sebelum memaksa Sharbinee Allawee meninggalkan posisinya untuk ditewaskan oleh pengganti Safawi Rasid berusia 19 tahun itu.

Tok Gajah dilihat cuba memperbaiki permainan dan mula mengasak kubu pelawat namun benteng JDT yang diketuai oleh Mauricio dan Fadhli Shas teguh bertahan.

Setengah jam aksi berlangsung dengan kedudukan dua gol tanpa balas, pelawat memperolehi sepakan penalti di minit ke-35 selepas Ramadhan Saifullah dikasari Herold Goulon. Penalti disempurnakan oleh Gonzalo Cabrera untuk gol ketiga.

Pahang mula mempamerkan kebangkitan bermula pada minit ke-40 apabila mereka memperolehi gol semangat selepas pemain tengah, Faisal Halim akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama buat tuan rumah – gol pertamanya sejak Mac 2019.

Kesilapan kapten JDT, Farizal Marlias apabila terlepas kawalan bola di kakinya ketika ditekan oleh pemain tengah berusia 22 tahun itu digunakan sebaiknya oleh Faisal Halim untuk merampas bola dahulu sebelum meledak gol pertama Pahang.

Farizal Marlias sekali lagi tertewas sebelum tirai babak pertama dilabuhkan apabila gagal menepis tandukan pertahanan tengah, Herold Goulon. Ia bermula dengan sepakan penjuru tuan rumah yang diambil oleh Gopi Rizqi di sebelah kiri gawang.

Awal babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar serangan dengan JDT lebih mendominasi perlawanan. Begitupun, tiada gol dapat dijelmakan.

Pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora memperkenalkan Safawi Rasid dan Nazmi Faiz Mansor di babak kedua, sementara Pahang pula memasukkan penyerang yang sudah meledak tiga gol dalam saingan liga iaitu Ivan Carlos.

Walaupun kedua-dua pengendali sudah menyuntik tenaga baharu dalam pasukan, rentak dan tempo JDT dan Pahang dilihat masih tiada perubahan ketara.

JDT hampir mendapat gol ke-4 pada minit ke-83, namun usaha Safawi Rasid yang merupakan musim terakhirnya beraksi di JDT telah disekat oleh Sharbinee Allawee. Pelawat menggunakan kepantasannya untuk menggugat benteng lawan.

Pahang yang beraksi di halaman sendiri dilihat berusaha keras untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan malam ini selepas merekodkan dua kemenangan berturut-turut sebelum liga tertangguh akibat COVID-19.

JDT akhirnya mengesahkan tiga mata penuh apabila pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria meniup wisel penamat. JDT kini meneruskan penguasaan mereka di takhta liga dengan mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Leave a Reply