Kepulangan penyerang berbadan sasa, Dickson Nwakaeme ke pangkuan Pahang telah mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air kerana pemain tersebut sering menjadi mimpi ngeri kepada pemain lawan ketika zaman kegemilangannya pada tahun 2015.
Walaubagaimanapun, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan peminat skuad tok gajah kerana pemain kelahiran nigeria itu sudah hampir 2 tahun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif setelah melakukan penampilan terakhir bersama kelab Ligue 1, Angers SCO.
Penampilan Nwakaeme di Angers SCO dianggap sebagai satu kegagalan apabila telah menjaringkan gol sendiri sehingga menyebabkan kelabnya itu tewas 1-2 kepada AS Monaco pada 24 September 2016.
Pada usia beliau yang kini sudah memasuki umur 33 tahun dan tidak menyepak bola sejak bulan jun 2017 mungkin akan menyukarkannya untuk kembali menemui rentak seperti dulu.
Namun, Pahang yang terkenal sebagai ‘kilang memperbaiki pemain’ ada cara untuk mengembalikan semula prestasi terbaiknya seperti mana mereka gilap kembali potensi penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha.
Pengalaman luas Dickson Nwakaeme mampu bantu Tok Gajah
Bagi pengendali Pahang, Dollah Salleh, beliau berkata faktor usia bukan ukuran utama sebaliknya pengalaman luas yang ada pada Dickson Nwakaeme ditagih bagi membantu pasukannya meraih pelbagai kejayaan.
“Apa yang dapat saya lihat pada sesi latihan pertama, Nwakaeme tidak menghadapi masalah bersama rakan sepasukan dan tiada perlu dikhuatirkan.
“Saya juga percaya dia dapat menyesuaikan diri untuk memastikan Tok Gajah bersedia mengharungi Liga M yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.
“Kehadirannya membantu menguatkan bahagian serangan kerana pada aksi pramusim di Thailand baru-baru ini, kami tidak menurunkan penyerang,” katanya dalam Berita Harian.
Dengan kehadiran Nwakaeme yang digelar sebagai ‘Orang Besi’, Pahang kini sudah memiliki empat pemain import termasuk Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).
Setelah Mohamadou Sumareh mendapat pengesahan rasmi untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan, Pahang kini sedang menunggu kehadiran seorang lagi penyerang import dari Brazil yang pernah berganding dengan bintang terkemuka dunia, Neymar.
“Dengan kehadiran seorang lagi pemain import, saya percaya skuad Pahang akan lengkap sepenuhnya minggu depan.
“Kita percaya musim ini skuad Tok Gajah akan mempamerkan prestasi lebih baik untuk meraih kejuaraan,” katanya