Di saat hanya pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berseorangan berdepan kritikan dan persoalan demi persoalan, muncul seorang pemain memberikan komen tentang prestasi skuad kebangsaan iaitu Dion Cools.
Semua pemain masih belum membuka mulut mengenai prestasi hambar skuad negara di saingan Piala AFF Suzuki 2020 apabila tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas 1-4 kepada musuh senusantara, Indonesia.
Ia perit untuk ditelan sesiapa pun tak kira jurulatih, pemain mahupun penyokong. Dan Indonesia berhak untuk berasa bangga meraih kemenangan besar ke atas Malaysia dan menghantar naib juara edisi lalu pulang awal.
https://www.instagram.com/p/CXvz5lMvztL/
Dion Cools merupakan pemain terakhir skuad negara yang tiba iaitu beberapa hari sebelum aksi terakhir berdepan Garuda, namun itu menjadi perlawanan pertama dan terakhirnya di kejohanan terbesar Asean itu.
Walaupun hanya meluahkannya di media sosial iaitu di akaun Instagramnya, Dion Cools yang sedang beraksi untuk FC Midtjylland di Liga Denmark nyata masih berbangga dapat menyarung jersi Harimau Malaya.
“Masih satu penghormatan besar. Kami pelajari sebagai satu pasukan dan kami akan kembali lebih kuat,” titipnya ringkas di Instagram miliknya. Di saat mungkin ramai menganggap beliau mungkin ‘malu’, jelas beliau masih berbangga dapat bersama Malaysia walaupun hanya dapat diturunkan dalam satu perlawanan sahaja.
Dion Cools tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan awal Kumpulan B ketika menang 3-1 ke atas Kemboja, 4-0 ke atas Laos dan tewas 0-3 ke atas Vietnam. Malaysia pula perlu menang dalam aksi terakhir kumpulan.
Dion Cools Bukanlah ‘Dewa Penyelamat’, Fokus Kepada Bagaimana Untuk Tundukkan Indonesia
Banyak pihak memandang seakan-akan kehadirannya bak ‘Dewa Penyelamat’ untuk menundukkan Indonesia sedangkan beliau juga pemain biasa. Dalam perlawanan itu juga beliau ‘terpaksa’ naik ke posisi penyerang!
Adakah sehingga ke tahap itu kita memandangnya? Pasukan harus beraksi sebagai satu pasukan dan tidak hanya bergantung kepadanya sahaja. Sambutan dan tindakan Tan Cheng Hoe seperti beliau ‘Dewa Penyelamat’.
Sebagai seorang pemain pertahanan, agak janggal apabila beliau menggantikan peranan yang ditinggalkan Safawi Rasid yang tercedera sedangkan di bangku simpanan terdapat beberapa pemain serangan menanti ruang untuk diturunkan seperti Akhyar Rashid atau Shahrel Fikri. Namun, mungkin Cheng Hoe terdesak.
Melihatkan komennya memberi gambaran beliau tiada masalah menerima kekalahan walaupun hanya beberapa hari berada di Singapura. Kecewa itu biasa, namun beliau dilihat menjanjikan kebangkitan Harimau Malaya selepas ini. DIharapkan Malaysia akan bangkit lebih garang di pusingan kelayakan Piala Asia 2023.