Dion Cools bukanlah ‘Dewa Penyelamat’ yang akan menjadi pembela Harimau Malaya berdepan Indonesia, namun keseluruhan pasukan harus tampil dengan permainan lebih baik selepas tewas 0-3 kepada Vietnam.
Kehadiran pemain kacukan, Dion Cools ke kem skuad kebangsaan disambut meriah bagai beliau akan menjadi penyelamat kempen serba tempang dan pincang skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2021.
Piala AFF 2020: Cheng Hoe pertaruh pengalaman, ketenangan Dion Cools | Stadium Astro https://t.co/tDSyas451p
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 14, 2021
Harus diingat, Dion Cools adalah pemain pertahanan. Dan beliau akan beraksi di posisi sekundernya, bukan posisi sebenarnya di bek kanan. Jadi, kehadirannya akan mengukuhkan pasukan tetapi keseluruhan pasukan juga harus tampil bermain dengan lebih baik. Harus diingat, kita telah pun kehilangan dua bek tengah utama.
Shahrul Saad dan kapten, Aidil Zafuan Abdul Razak disahkan tidak sempat pulih untuk aksi berdepan Indonesia pada Ahad ini. Jadi, hanya tinggal Dominic Tan sahaja untuk bermain di posisi tersebut sebelum ketibaannya.
Gandingannya bersama Dominic Tan masih belum teruji dan dijangka akan digunakan untuk berdepan Garuda. Mampukah mereka mempamerkan kesefahaman yang tinggi membendung asakan lawan yang pantas bak kata pengendali, Tan Cheng Hoe sebelum ini? Indonesia memiliki deretan pemain yang pantas dan berbahaya.
Piala AFF 2020: Tan Cheng Hoe Tak Ambil Mudah Kekuatan Mental Indonesia
Begitupun, ia bukan tugas mereka berdua sahaja. Ia tugas kolektif berpasukan membendung asakan lawan.
Perkara yang paling penting adalah perancangan Cheng Hoe untuk berdepan Indonesia. Adakah beliau akan terus berdegil dengan formasi taktikal sedia adanya? Kita tahu, Cheng Hoe gemar menggunakan formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3. Yang berubah adalah peranan di jentera tengah sama ada lebih bertahan atau menyerang.
Indonesia yang lebih fleksibel dijangka mampu menghadirkan kejutan buat Harimau Malaya. Kita pun sukar menjangkakan sama ada mereka akan tampil menyerang atau bertahan ketika berdepan Malaysia nanti.
‘Mudah Dibaca’ – Adakah Cheng Hoe Akan Kekal Dengan Taktikal Sama Sampai Kiamat?
Berikut adalah tiga kualiti skuad kendalian Shin Tae-yong kali ini yang diketengahkan Semuanya BOLA.
Sistem taktikal Garuda yang fleksibel sepanjang saingan Piala AFF, kekuatan mental yang dimiliki dan corak permainan keras yang ditampilkan dalam tiga perlawanan setakat ini merupakan tiga kualiti mereka dalam saingan kali ini. Mereka hanya perlukan keputusan seri berdepan Malaysia dan ia mungkin mudah buat mereka.
Indonesia secara keseluruhannya telah mengalami perubahan dan tidak lagi sama seperti ketika mereka tewas kepada pasukan negara dua tahun lalu. Malaysia menang dalam dua aksi, 3-2 di Jakarta, sebelum menang 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun 2019.
Adakah Dion Cools boleh dianggap ‘Dewa Penyelamat’ Harimau Malaya? Cukuplah beliau dianggap penambah kualiti pasukan Malaysia yang pincang saat ini. Diharapkan perancangan dan permainan pasukan akan menjadi.