Bekas penyerang Tottenham Hotspur, Dimitar Berbatov menyifatkan bahawa Spurs perlu untuk memenangi piala dalam usaha mengekalkan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino bagi terus membimbing kelab London tersebut.
Nama pengendali kelahiran Argentina itu sering dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid dan ketika ini Manchester United dikatakan berminat untuk menjadikannya sebagai pengganti Jose Mourinho di Old Trafford.
Tottenham merupakan antara pasukan yang bersaing hebat sejak beberapa musim kebelakangan ini, namun Berbatov melihat kemarau piala yang dihadapi bakal membuatkan Pochettino beralih angin ke pasukan lain.
”Mereka mempunyai segala-galanya yang dimahukan pengurus. Sebuah pasukan yang hebat, padang latihan yang hebat, stadium yang hebat. Mungkin yang mereka rindukan adalah kejayaan.”
”Apa yang berlaku terhadap pengurus adalah sama seperti yang dimahukan oleh pemain – mereka mahu untuk memenangi sesuatu dan memerlukan sesuatu untuk ditunjukkan selepas itu.”
”Spurs perlu untuk memenangi sesuatu bagi mengekalkannya bersama pasukan – itu adalah satu benda yang hilang (kejuaraan). Saya harap dia (Mauricio Pochettino) akan kekal, semua orang hanya bercakap perkara yang baik mengenainya.”
”Untuk Spurs mencapai ketinggian yang mereka mahu kecapi, mereka perlu untuk mengekalkan Pochettino.”
Kali terakhir Tottenham Hotspur meraih kejayaan menjulang piala adalah dalam saingan Piala Carling 2007/08 yang menyaksikan Spurs menundukkan Chelsea 2-1 di Wembley ketika dibawah bimbingan Juande Ramos.
Berbatov sendiri memadamkan jaringan pendahuluan dihasilkan Didier Drogba dan Jonathan Woodgate kemudiannya menjaringkan gol pada masa tambahan untuk menghadiahkan kejuaraan buat Spurs.
Selepas itu, Tottenham terus ketandusan kejayaan sehingga ke hari ini.