Persoalan siapakah bakal dilantik sebagai ketua jurlatih Harimau Malaya yang baharu berkemungkinan besar akan terjawab dalam satu sidang media khas oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin pada Jumaat ini.
Sejak jawatan tersebut dikosongkan oleh Tan Cheng Hoe pada awal Januari lalu berikutan kegagalan skuad negara di kejohanan Piala AFF di Singapura, tidak kurang 10 calon diura-urakan sebagai pengganti.
Senarai tersebut kemudian dipendekkan kepada empat calon daripada Korea Selatan. Dan baru-baru ini dua daripadanya dipercayai menarik diri, menjadikan hanya tinggal dua calon sahaja yang berkemungkinan bergelar ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baharu.
Dua calon berprofil tinggi dari Korea Selatan yang dimaksudkan itu adalah Kim Hak-bum dan Kim Pan-gon.
Rekod dan profil
Kim Hak-bum adalah jurulatih yang bertanggungjawab membawa skuad Korea Selatan yang turut membariskan Son Heung-min mememangi pingat emas Sukan Asia pada 2018. Dua tahun kemudian beliau membawa Korea Selatan muncul juara Piala AFC B-23.
Calon utama pilihan FAM pula dipercayai adalah Kim Pan-gon yang merupakan bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong.
Jurulatih berusia 52 tahun itu turut dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu.
🇲🇾Big candidates for new head coach for Malaysia National Team. are two coach from South Korea 🇰🇷 :
👉 Kim Hak-bum : former U23 South Korea's head coach.
👉 Kim Pan-gon : Former Hongkong National Team's Head coach #FAM #AFF pic.twitter.com/xIpxlCLYvZ
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) January 15, 2022
Bagi pengikut setia Harimau Malaya, anda pasti tidak lupa bagaimana Pan-gon membantu Hong Kong menewaskan Malaysia 2-0 di pusingan kelayakan Piala Asia pada 2017.
Kim Pan-gon meninggalkan Hong Kong pada pengakhiran 2017, dan selepas itu kembali ke negaranya sebelum dilantik sebagai ketua komuniti jawatankuasa khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang betanggungjawab melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.
Kisah Shin Tae-yong dimalukan
Umum mengetahui ketua jurulatih skuad Garuda ini adalah bekas pengendali pasukan Korea Selatan di Piala Dunia 2018. Di pusingan akhir Piala Dunia yang berlangsung di Rusia itu, Korea Selatan yang diundi di dalam Kumpulan F diundi bersama-sama Mexico, Sweden dan Jerman.
Berdasarkan undian dan pengalaman beraksi di pentas tertinggi dunia bola sepak itu, skuad Korea Selatan kendalian Shin Tae-yong disasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke pusingan kalah mati, atau 16 pasukan terbaik.
Malang sekali Shin Tae-yong bersama barisan pemain yang digelar ‘Taeguk-warriors’ gagal memenuhi sasaran tersebut, selepas dua kekalahan tipis, 0-1 kepada Mexico dan 1-2 kepada Sweden dalam dua perlawanan pertama.
Walaupun berjaya mengejutkan Jerman 2-0 di perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan mengakhiri saingan Kumpulan F di kedudukan ketiga, pencapaian tersebut dianggap tidak cukup untuk rakyat Korea Selatan.
Akibatnya Shin Tae-yong dan barisan pemainnya disambut oleh lemparan telur oleh penyokong yang marah ketika tiba di Seoul selepas pulang dari Rusia.
Shin Tae-yong dipecat
Bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan tindakan memalukan di hadapan publik, kontrak Shin Tae-yong turut tidak disambung selepas itu. Dengan kata lain, jurulatih itu dipecat oleh ahli jawatankuasa khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang dilantik khusus mengendalikan jurulatih-jurulatih yang mengendalikan pasukan kebangsaan di setiap peringkat usia.
“Systemic problems” in the domestic league is the reason why #SouthKorea are on the brink of elimination after they lost both of their opening two #WorldCup games, coach Shin Tae-yong said.https://t.co/Xr78OrAOtf pic.twitter.com/YHWVo4wXt9
— DT Next (@dt_next) June 24, 2018
Kebetulan individu yang mengetuai jawatankuasa KFA tersebut adalah Kim Pan-gon, iaitu jurulatih pilihan utama FAM untuk menjadi pengganti Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Harimau Malaya.
Jika Kim Pan-gon menjadi nama yang disahkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu, maka ini akan mewujudkan ‘perseteruan khas’ di antara kedua-dua jurulatih sedkali gus menjadikan derbi nusantara menjadi semakin panas lagi di masa hadapan.
Adakah Shin Tae-yong sudah melupakan episod lama di Korea Selatan? Apa-apa pun pertemuan di antara Malaysia dan Indonesia selepas ini akan menjadi lebih menarik untuk disaksikan dengan kehadiran kedua-dua pengendali.