Menjelang pertemuan menentang Slovenia dalam aksi kumpulan F kelayakan Piala Dunia 2018 zon Eropah awal pagi tadi, Scotland memerlukan kemenangan.
Seri atau kalah dalam perlawanan terakhir kumpulan F ini bererti Scotland perlu melupakan impian ke Piala Dunia – kejohanan yang kali terakhir disertai mereka pada tahun 1998 di Perancis.
Ketika 5.4 juta rakyat Scotland mengharapkan pasukan bola sepak kebangsaan mereka mampu memberi mereka sebab untuk berparti pada musim panas 2018 nanti, anak-anak buah Gordon Strachan itu hanya mampu untuk seri 2-2 dengan Slovenia di Ljubljana pada awal pagi tadi.
Kegagalan mara ke Piala Dunia 2018 ini adalah kegagalan 5 kali berturut-turut buat Scotland!
Scotland & Hungary are the only current international sides to play in at least 8 World Cups, but none in the 21st century.
— Richard Jolly 🇺🇦 (@RichJolly) October 8, 2017
Lebih pahit untuk ditelan penyokong Scotland adalah fakta betapa malangnya nasib mereka kerana jiran mereka yang lebih kerdil, Northern Ireland sekurang-kurangnya layak ke pusingan play-off Piala Dunia 2018 walaupun kalah 0-1 kepada Norway di Oslo pada awal pagi tadi.
Northern Ireland mengesahkan tempat ke pusingan play-off Piala Dunia 2018 selepas menjadi salah satu daripada 8 naib juara kumpulan terbaik (daripada 9 kumpulan).
Segalanya bermula baik untuk Scotland pada separuh masa pertama selepas penyerang Celtic, Leigh Griffith membuka jaringan pada minit ke-32 untuk Scotland mendahului 1-0.
Namun selepas itu, Scotland terlalu fokus untuk mempertahankan 1 gol pendahuluan dan menmperlahankan tempo permainan daripada mencari gol ke-2.
Slovenia kemudiannya meningkatkan mutu permainan mereka dan menjadi pasukan lebih baik pada separuh masa kedua.
Hasilnya Slovenia menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-52 hasil jaringan penyerang SV Darmstadt 98, Roman Bezjak. Pemain sama menghantui pertahanan Scotland sekali lagi pada minit ke-71 apabila menjaringkan gol ke-2.
Ketinggalan 1-2, Scotland mula menekan butang panik. Mujurlah pemain sayap Aston Villa, Robert Snodgrass dapat menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88.
Bagaimanapun dengan perlawanan menuju ke hujung, ianya sudah terlalu lambat buat Scotland untuk mendapatkan gol kemenangan.
Penyokong Scotland, The Tartan Army dan pundit TV semuanya bersetuju kegagalan Scotland bertahan dengan baik menjadi punca kegagalan mereka untuk layak ke Piala Dunia kali ini.
Sebelum persembahan defensif yang mengecewakan awal pagi tadi, Scotland pernah melakukan perkara sama ketika mendahului England 2-0 sebelum terikat 2-2 pada Jun 2017 lepas.
Seri ini pastinya satu keputusan yang sangat mengecewakan The Tartan Army kerana pasukan kebangsaan mereka sebelum ini sudah menang 3 perlawanan berturut-turut dan tidak tewas dalam 5 perlawanan terakhir.
Buntu mencari sebab kegagalan layak ke Piala Dunia 2018, ketua jurulatih Scotland, Gordon Stratchan menyalahkan ‘genetik’ pemain-pemainnya pula.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Stratchan memberitahu:
“Apa yang saya tahu adalah, dari segi genetik, kita ketinggalan. Dalam kempen kelayakan kali ini, kita adalah pasukan kedua terkecil selepas Sepanyol. Ini bermakna kita perlu pilih pemain sebaiknya untuk lawan ketinggian dan kekuatan pemain Slovenia.”