Legenda bola sepak dunia yang kini membimbing kelab divisyen dua Mexico, Diego Armando Maradona beranggapan bahawa pengurus Manchester United, Jose Mourinho merupakan pengurus terbaik di dunia berbanding Pep Guardiola.
Perbandingan yang pasti menimbulkan perdebatan terutamanya melibatkan peminat kedua-dua Manchester itu selepas City berjaya menundukkan United 3-1 pada perlawanan liga minggu lalu.
Maradona, pengurus kelab Dorados di Mexico mempunyai alasan beliau yang tersendiri tentang kenyataan dikeluarkannya ini.
Menurut sumber Goal, Maradona berpendapat bahawa Mourinho adalah yang terbaik di dunia dan turut menyifatkan kuasa membeli yang dimiliki Pep Guardiola menjadi tunjang kepada kejayaan sepanjang karier beliau sebagai pengurus.
”Pada saya ya, Mour (Jose Mourinho) adalah yang terbaik. Saya akan memberikan merit kepada Pep (Guardiola) telah mengambil kesempatan yang diberikan Johan Cruyff kepadanya.”
”Saya telah mengatakan lebih dari sekali bahawa tiki-taka bukan dicipta oleh Guardiola. Ia adalah ‘Flaco’ Cruyff,” jelas Maradona lagi.
”Pada masa ini Pep boleh memilih mana-mana pemain di dunia yang dia mahukan. Ia membuatkan tiki-taka menjadi mudah.”
Legenda berusia 58 tahun yang pernah menggegarkan bola sepak dunia dengan jaringan ‘hand of god’ dalam saingan Piala Dunia 1986 menjelaskan beliau akan ke Old Trafford untuk menemui Jose Mourinho bagi mendapatkan tunjuk ajar dari ‘The Special One’ itu.
”Saya sendiri sebagai jurulatih perlu untuk mempelajari banyak benda dan dengan alasan itu saya merasakan perlu ke Manchester dan berjumpa Mourinho untuk bertanyakan banyak perkara.”
”Tanpa keraguan kerana dia adalah yang terbaik.”
Kredit foto: Sky Sports