Quantcast

BERITA

Hafizul Hakim Berminat Untuk Beraksi Di Liga Thailand

Penjaga gol skuad kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengesahkan ada ejen telah mendekati beliau untuk bertanya tentang peluang beraksi di Liga Thailand musim depan.

Bercakap kepada Berita Harian, penjaga gol skuad The Bos Gaurus itu menjelaskan kontraknya dengan Perak bakal tamat hujung bulan ini dan beliau sedia menimba pengalaman di kelab luar negara bagi memantapkan lagi permainannya.

Bagaimanapun, Hafizul yang kini bersama skuad kebangsaan akan memikirkan masa depannya selepas berakhirnya kempen Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018.

Bakal sertai kelab Liga Thailand, Muangthong united? 

Baru-baru ini terdapat khabar angin di media sosial yang menyatakan sebuah kelab gergasi dari Thailand, Muangthong United berminat untuk mendapat khidmat penjaga gol berusia 26 tahun itu.

RUMOURS! – Penjaga gol Perak TBG, Hafizul Hakim dikhabarkan sedang dilamar oleh sebuah kelab gergasi di Liga Thai iaitu Muangthong United. ..Jika benar, berhijrahlah. Kembangkan bakat anda.

Posted by PERKEMBANGAN BOLASEPAK SEMASA on Sunday, November 11, 2018

Namun Hafizul menegaskan tiada sebarang tawaran atau perbincangan lanjut diadakan dengan ejen berkenaan kerana ejen itu hanya bertanyakan mengenai hasratnya.

“Ada ejen pemain datang berjumpa dan tanya sama ada saya berminat untuk bermain dengan kelab di Thailand dan saya menyatakan yang saya berminat namun saya tidak menganggap itu sebagai tawaran lagi.”

“Saya masih belum membuat sebarang keputusan lagi kerana sekarang sedang fokus menghadapi Piala AFF dan keputusan akan dibuat selepas berakhirnya kejohanan ini,” katanya.

Turut menerima tawaran daripada pasukan Liga Super

Sementara itu, Hafizul berkata, dia juga ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan negeri dan kelab tempatan namun enggan mendedahkan nama pasukan itu.

“Memang ada tawaran dari pasukan lain namun tidak boleh mendedahkan nama pasukan itu dan seperti saya katakan yang saya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada kekal dengan Perak atau sebaliknya,” katanya.