Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa meluahkan perasaan kekesalannya menyertai pasukan Chelsea pada satu ketika dahulu.
Menerusi FourFourTwo, bekas penyerang The Blues itu mengakui bahawa dirinya telah melakukan kesilapan terbesar dalam kariernya dengan memilih untuk bersama Chelsea pada tahun 2014.
“Ia adalah masa yang sangat buruk, tetapi ia bukan salah saya.”
“Ramai orang mengatakan banyak hal, tetapi segala-galanya akan diketahui suatu masa nanti.”
“Lihat jurulatih(Chelsea), lihat Conte, dimana dia ketika ini?”
Tambahnya lagi, “Saya akui melakukan kesilapan ke Chelsea. Ini kerana cara mereka berurusan dan menangani pelbagai masalah.”
“Cholo (Diego Simeone) adalah seorang jurulatih yang terbuka, jika dia tidak suka pada kamu, dia dengan terang menunjukkannya.”
“Namun sebaliknya berlaku di Chelsea. Saya mempunyai pilihan untuk kembali ke Atleti, dan apabila Chelsea meminta saya untuk kembali menjalani latihan dengan pasukan simpanan, jelas saya katakan bahawa saya akan kembali ke Atletico, walaupun mendapat tawaran lain.”
“Jika tidak, saya akan tinggal di Brazil bersama keluarga, saya terpaksa menjalani kehidupan saya bersama keluarga, saya mempunyai maruah yang tidak boleh dibeli dengan wang.” jelas Costa.
Pemain kelahiran Brazil itu memutuskan untuk meninggalkan Chelsea selepas mendapati bahawa dirinya tidak disenaraikan dalam skuad 25 pemain Chelsea untuk kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
Kedudukan Costa sebagai penyerang utama The Blues telah dibekukan oleh pengurus ketika itu, Antonio Conte sehingga membuatkan dirinya lantang menyuarakan keinginan untuk keluar dengan menyertai kelab lamanya Atletico Madrid.