Sebutkan sahaja nama Didier Drogba – jangan mengaku anda pengikut setia Chelsea FC dan Liga Perdana Inggeris jika tidak mengenali nama yang telah menghiasi setiap kejuaraan untuk kelab London ini.
Bagi penyokong lawan, kelibat Drogba pasti menjadi igauan yang tiada sudah dengan susuk tubuh tegap dan perwatakan serius – merobek kubu lawan di antara 2004 sehingga 2012.
Umum persaraan
Penyerang legenda Chelsea itu mengesahkan dirinya bersara sebagai pemain – sekaligus menamatkan karier 20 tahun penuh gemilang.
Pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 40 tahun itu pernah dua kali menyertai Chelsea – menjaringkan 164 gol dari 381 penampilan dan menjuarai empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL). Drogba juga mengakhiri penantian Chelsea untuk kejuaraan UEFA Champions League pada 2012.
Sebelum melakukan pengumuman ini, Drogba terikat dengan Phoenix Rising – sebuah kelab di Amerika Syarikat – yang dimiliki oleh beliau sendiri.
“Selepas 20 tahun, saya mengambil keputusan untuk mengakhiri karier 20 tahun sebagai pemain,” ujar Drogba kepada BBC dalam satu temubual di rancangan syarikat media itu, World Service’s Sporthour.
Sudah dijangka
Keputusan Drogba untuk bersara sememangnya sudah dijangka selepas perlawanan akhir Piala Liga United Soccer (USLC) pada awal bulan ini.
Perlawanan terakhir yang menyaksikan aksi terakhir Drogba ialah kekalahan 1-0 kepada Louisville City dalam perlawanan akhir pertandingan divisyen kedua Amerika Syarikat itu.
“Ia adalah cara terbaik untuk mengakhirinya, dan berkesempatan untuk membantu generai baru untuk membangun di dalam sukan ini,” ujar Drogba.
“Untuk mempunyai peluang menyumbang kembali kepada bola sepak ialah cara terbaik untuk menamatkan perjalanan ini. Bola sepak telah mengajar saya banyak perkara.”
Karier yang unik
Perjalanan karier Drogba menuju ke puncak adalah unik. Beliau tidak beraksi di peringkat tertinggi sukan ini sehinggalah berusia 23 tahun – menyertai Guingamp yang pada ketika itu beraksi di Ligue 2 di Perancis, pada Januari 2002.
Kemampuan beliau pantas mencuri tumpuan kelab lain. Drogba kemudiannya dipancing oleh Marseille 18 bulan kemudian. Tahun berikutnya, Drogba menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan £24 juta di mana beliau mencipta nama sehingga berstatus legenda didalam sukan ini.
Selamat bersara Didier Drogba!