Kekalahan yang diterima oleh Kedah Darul Aman (Kedah) pada aksi Liga Super ditangan Johor Darul Ta’zim (JDT) amat sukar untuk diterima.
Mana tidaknya, mereka dibelasah 6-0 dengan cukup hebat di Stadium Sultan Ibrahim untuk menjadikan Kedah pasukan kedua paling teruk bolos ditangan JDT dalam satu perlawanan.
Hanya Negeri Sembilan sahaja yang lebih teruk apabila kalah 7-0 di Paroi sebelum ini.
Kekalahan tersebut nyata tidak disenangi oleh penyokong-penyokong Kedah. Malah, ada yang rasakan sudah tiba masa Nafuzi Zain digantikan.
Ada yang mencadangkan untuk membawa semula pengendali legenda, Azraai Khor Abdullah kembali membawa semula Kedah dengan harapan ianya dapat mengembalikan kejayaan lampau Hijau Kuning.
Namun begitu, cadangan itu mendapat respon sendiri daripada Azraai dengan beliau berasakan tidak perlulah untuk dirinya kembali.
Azraai menyatakan yang beliau kini sudah bersara daripada melatih mana-mana pasukan dan eloklah masa diberikan kepada Nafuzi untuk membina skuad ampuh.
“Maaf, saya sudah bersara dari kejurulatihan. Jangan dibandingkan dengan kejayaan saya era double treble. Masa sudah berlalu.
“Yang penting, beri Nafuzi Zain masa untuk membentuk pasukan. Kena yakin dengan proses yang beliau rancang.
“Yang penting, pemain-pemain kena ada sikap yang betul terhadap pasukan. Perlawanan semalam [menentang JDT] telah terdedah kelemahan-kelemahan kita, harus diperbaiki segera,” kata Azraai di Facebooknya.
Dalam masa yang sama, Azraai juga mahu penyokong Kedah untuk kasihankan pemilik kelab iaitu Tan Sri Daud Bakar yang juga berusaha keras tetapi pemain bersikap acuh tak acuh bila beraksi.
“Kasihan dekat pemilik kita Tan Sri Daud Bakar, setelah beliau berusaha macam-macam demi pasukan kita, pemain bersikap sambil lewa,” tambah Azraai lagi.
Azraai turut mengatakan yang beliau sedia membantu Nafuzi jika pengendali itu memerlukan tunjuk ajar dari seorang jurulatih veteran.