“Dia Akan Jadi Penyerang No.1 Thailand Di Sukan SEA” – Kenali Teerasak Poeiphimai, ‘The Next’ Teerasil Dangda

Teerasak Poeiphimai Thailand Sukan SEA 2023

Dia akan jadi penyerang No.1 kami di Sukan SEA,” tegas pengendali skuad B-23 Thailand, Issara Sritaro mengenai pemainnya, Teerasak Poeiphimai.

Teerasak bukanlah nama asing untuk skuad muda Thailand apabila pernah membantu mereka muncul naib juara di Kejohanan Piala AFF B-23 2022, malah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak di edisi ketiga tersebut.

Thailand tewas kepada Vietnam di pentas final dengan keputusan 0-1.

Mungkin banyak pihak mengatakan skuad ini akan melalui masa sukar dengan ketiadaan penyerang sensasi, Suphanat Mueanta yang tidak mendapat pelepasan disebabkan sedang bersedia ke Leicester City.

Buriram United hanya tidak melepaskan Suphanat ke Sukan SEA kerana perlu berangkat ke Leicester sebaik sahaja saingan Thai League 1 berakhir.

Dikhabarkan penyerang berusia 20 tahun itu bakal ditawarkan kontrak bersama kelab tersebut, namun akan terlebih dahulu dipinjamkan ke OH Leuven di Belgian Pro League (Liga Belgium) permulaan musim depan.

Namun, pengendali, Issara dilihat tidak tergugat, malah lega apabila mereka masih memiliki seorang lagi penyerang terbaik, Teerasak untuk diandalkan.

Kami sangat gembira Teerasak [Poeiphimai] akan bersama kami, dia akan jadi penyerang No.1 kami di Sukan SEA,ujar Issara mengenai Teerasak.

Malah, seorang lagi pemain harapan, Jonathan Khemdee turut tersenarai.

Dengan label ‘The Next’ Teerasil Dangda, tentunya bakatnya sedang menjadi perhatian di Thai League 1. Bermain bersama Port FC, Teerasak telah tampil 23 kali dan meledak lapan gol di pentas tertinggi bola sepak Thailand. Di saingan Piala FA, beliau telah mencetak tiga gol dalam lima penampilan.

Begitupun, bagi penyerang kelahiran Nakhon Ratchasima ini, segalanya sangat pantas buat dirinya selepas menyertai Surasakmontree School yang pada ketika ini memiliki antara pasukan bola sepak yang terbaik di Thailand.

Tetapi, beliau hanya mula bermain bola sepak pada usia 16 tahun. Sebelum itu, beliau banyak bermain futsal dan bola sepak lima serta tujuh sebelah.

Beliau dilamar Prime Bangkok untuk bermain di Thai League 3 musim 2020 sambil meneruskan pengajiannya. Beliau mencipta sejarah penjaring hatrik termuda dan penjaring termuda di Thai League 3 di usia 18 tahun 23 hari.

Bermain 13 perlawanan, Teerasak mencipta sembilan gol sebelum liga terhenti akibat Covid-19. Ia sesuatu yang membanggakan dirinya untuk penampilan pertama secara profesional di pentas bola sepak Thailand.

Saya mahu jadi seperti idola saya, Teerasil Dangda. Seperti mana-mana pemain bola sepak, saya juga mahu beraksi bersama skuad kebangsaan,” ungkapnya satu ketika dahulu sebelum mendapat kaps pertama skuad senior pada September lalu di King’s Cup berdepan Trinidad dan Tobago.

Untuk rekod, beliau tidak pernah berada dalam skuad B-16 dan B-18 Thailand. Teerasak hanya mula beraksi di pentas B-23 pada tahun 2021.

Dalam aksi pertama Kumpulan B, Sukan SEA 2023, penyerang berusia 20 tahun itu sudah mencipta gol pertama ketika membenam Singapura 3-1. Selepas ini, Thailand akan bertemu Malaysia, pada Sabtu petang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN