Di Maria Punya Susu, Messi Dapat Nama?

Lionel Messi Angel Di Maria

Seringkali kita mendengar istilah ‘unsung hero‘ atau dalam bahasa Melayu disebut ‘wira tak didendang’. Mungkin itulah gelaran yang sesuai buat Angel Di Maria, penjaring gol kemenangan yang mengesahkan kejuaraan Copa America 2021 buat Argentina selepas menewaskan Brazil 1-0.

Di Maria memanfaatkan hantaran jauh cantik Rodrigo De Paul sebelum mengatasi kawalan pemain pertahanan dan seterusnya melepaskan sepakan lambung yang menewaskan penjaga gol Ederson Moraes.

Media salah tumpu?

Sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel penamat, seluruh dunia tertumpu kepada Lionel Messi. Mungkin kerana beliau akhirnya berjaya menamatkan penantian meraih kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Kapten Barcelona itu dijulang-julang oleh rakan sepasukannya bagi meraikan detik bersejarah mereka. Seolah-olah beliaulah yang menjadi wira pada malam bersejarah buat Argentina itu.

Sedangkan Di Maria telah dipilih sebagai pemain terbaik dalam aksi final itu. Jaringannyalah yang menamatkan kemarau selama 28 tahun Argentina. Kali terakhir negara itu menjuarai Copa America adalah pada 1993.

Masihkah anda ingat, ketika Argentina memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan Olimpik 2008 dahulu, siapakah penjaring gol kemenangan ketika mereka menewaskan Nigeria 1-0 dalam perlawanan akhir di Beiing?

Suratan atau kebetulan, penjaring gol itu adalah Di Maria. Namun seperti yang berlaku baru-baru ini, media lebih banyak memperkatakan tentang Messi berbanding sumbangan penting penyerang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut.

Di Maria kecewa?

Selepas perlawanan, dengan penuh emosi pemain berusia 33 tahun itu mengakui beliau amat gembira dapat menjaringkan salah satu gol yang paling penting dalam karier profesionalnya.

Di Maria kemudian mendedahkan bahawa Messi ada menemuinya dan mengucapkan terima kasih kerana memberikan kejuaraan di pentas antarabangsa pertama buat dirinya.

“Satu saat yang tidak dapat dilupakan apabila menjadi juara bersama Lionel Messi, dia berkata terima kasih, saya juga membalasnya dengan terima kasih,” kata Di María yang ditemubual selepas perlawanan.

“Dia memberitahu saya ini adalah pengakhiran baginya, dendam yang terbalas terhadap apa yang berlaku di Chile, di Piala Dunia.”

Daripada kata-katanya itu, jelas Di Maria tidak sama sekali berkecil hati dengan tumpuan yang diberikan kepada rakan sepasukannya itu. Baginya bola sepak adalah sukan berpasukan dan setiap kejayaan itu bukanlah datang dari sumbangan individu semata-mata.

“Kami telah banyak mengimpikan kejayaan, berjuang dengan begitu banyak. Ramai yang mengkritik kami,” katanya lagi.

“Kami terus ke hadapan dan hari ini, kejayaan yang cukup manis sekali. Mengatasi Brazil, meraih gelaran buat Argentina. Kami datang dan mesti menang, kami berjaya melakukannya.”

Penutup

Siapa yang boleh menafikan sumbangan Messi kepada negara yang mempunyai peminat bola sepak paling fanatik di dunia itu? Sudah hampir dua dekad beliau menjadi ikon bola sepak Argentina.

Malah ketika ini beliau merupakan kapten yang memimpin pasukannya meraih kejayaan yang diimpikan. Jika Messi merupakan ketua penglima di medan peperangan, Di Maria pula adalah salah seorang pahlawannya yang paling unggul.

Pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu telah mencetak empat gol dan lima bantuan jaringan untuk membolehkannya menerima anugerah kasut emas selaku penjaring gol terbanyak Copa America 2021.

Tahun depan akan berlangsungnya kejohanan Piala Dunia di Qatar. Kedua-dua pemain ini Messi dan Di Maria pastinya akan berada dalam perancangan Lionel Scaloni memandangkan fizikal dan keupayaan mereka masih berada pada tahap terbaik untuk memberikan sumbangan.

Ia juga mungkin akan menjadi pentas terakhir mereka di peringkat antarabangsa.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Lionel Messi: 

Kelab Lawan Sanggup Bantu Barcelona “Top-Up” Gaji Messi Untuk Kekal Di La Liga

Lionel Messi Terpaksa Tanggung Rugi RM500,000 Sehari

Copa America: Akhirnya Messi Menang Juga Piala Bersama Argentina!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN