Ketika media sosial pasukan Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah, Terengganu dan Selangor semakin aktif menghebahkan perkembangan terkini pasukan buat tatapan penyokong, lain pula ceritanya di Perak. Suasana senyap sunyi page Perak TBG di Facebook benar-benar membuatkan kami sebagai penyokong berada dalam kebingungan sambil tertanya-tanya ke mana menghilangnya admin media sosial Perak FA?
Dengan 30 September menjadi posting terakhir daripada media sosial Perak TBG, penyokong Perak hanya mampu cemburu melihat pasukan lain yang sentiasa memberikan informasi di media sosial. Admin page tersebut seperti ‘berkabung’ akibat kegagalan Perak mengekalkan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim 2018 kerana dikecewakan Selangor pada suku akhir.
Selepas ketiadaan berita mengenai Perak di media sosial pasukan, semalam kita dikejutkan pula dengan pengumuman pemain baru, Guilherme de Paula di Facebook milik presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Ahmad Faizal Azumu. Mengapa hanya di page presiden tetapi tidak di Perak TBG?
Memang beliau adalah presiden tetapi mengapa pula dipinggirkan media sosial pasukan yang kini sudah diikuti hampir 80,000 orang pengikut di Facebook. Berita kehadiran de Paula seharusnya menjadi hadiah buat penyokong yang selama ini terlalu merindui informasi mengenai perkembangan pasukan tetapi sayang kesempatan itu tidak digunakan sepenuhnya pengurusan Perak FA.
Sebagai penyokong biasa kami mungkin tidak mengetahui permasalahan yang dihadapi. Namun, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Jika perkara seperti media sosial pasukan tidak mampu dikendalikan dengan baik, memang agak jauh lagi perjalanan Perak untuk mencapai tahap lebih tinggi dari pelbagai segi.
Belum lagi sekiranya kita membincangkan mengenai pusat latihan pasukan yang kini menjadi bahan ketawa peminat bola sepak tanah air. Sudah tiba masanya untuk memperkasakan media sosial pasukan Perak agar kita tidak ketinggalan jauh dari pasukan lain yang semakin dekat di hati penyokong mereka.
Nota editor: Artikel ini adalah sumbangan Mohd Nadzri Azmi yang merupakan peminat setia Perak FA, telah disunting sebelum diterbitkan di Semuanya BOLA dengan kebenaran. Hantarkan artikel anda (tidak kurang dari 350 patah perkataan) ke [email protected] di dalam bentuk Microsoft Words jika mahukan ia dibaca oleh lebih sejuta pembaca kami.