Impian Terengganu FC untuk mengutip 3 mata penuh di halaman sendiri berkecai apabila skuad Petaling Jaya City FC (PJ City) melakukan kebangkitan luar biasa pada babak kedua perlawanan.
Ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama langsung tidak mematahkan semangat skuad kendalian K. Devan untuk tampil mempamerkan aksi yang lebih baik pada separuh masa kedua sehingga menumpaskan Terengganu FC, 5-3 semalam.
Devan bagaimanapun mengakui terkejut dan tidak percaya dengan kemampuan anak buahnya menghukum kelekaan barisan pemain pertahanan lawan sekaligus memadam defisit tiga gol Terengganu FC.
“Saya tak sangka dengan keputusan ini, bermain dengan pasukan Terengganu di tempat lawan dalam keadaan biasa tidak mungkin berlaku tetapi bola sepak ini kadang-kadang perkara luar biasa boleh berlaku, perlawanan malam ini (malam tadi) bagi saya sesuatu yang luar biasa.
“Pemain tampil dengan semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti putus asa walaupun ketinggalan dengan jumlah jaringan agak besar di tempat lawan, mereka bangkit mencipta kemenangan.
“Ketika di dalam bilik persalinan pada waktu rehat saya arahkan pemain mencari gol awal dan minta pemain melipatgandakan usaha dan kerja keras.
“Ternyata jaringan awal yang diperoleh itu menyuntik semangat pemain sebelum meledak gol kedua dan ketiga dalam masa sembilan minit sekaligus memberi petanda positif daripada segi mental pemain dan mereka terus berusaha untuk menghasilkan dua gol lagi sehingga kita berjaya catat kemenangan,” katanya dalam Harian Metro.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Devan turut menjelaskan kehadiran dua pemain import baharu yang dibawa masuk pada minggu lepas ternyata telah memberi impak yang besar dalam pasukannya.
“Kelemahan yang kita dapat kesan pada babak pertama pemain mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan tetapi babak kedua kita dapat menyusun semula permainan dengan pemain mengambil kesempatan atas keletihan pasukan lawan.
“Kehadiran dua import baharu, Washington Brandao dan Pedro Henrique juga memberi kelebihan dan menyuntik semangat pemain lain terutama di bahagian serangan,” kata Devan yang turut mengakui kelebihan fizikal pemainnya juga antara faktor kejayaan kerana dapat menyaingi pemain TFC.